Politik

Pak Wan janji tukar lampu LED di Parlimen Alor Gajah

Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd. Redzuan Md. Yusof akan memastikan lampu jalan biasa ditukar kepada lampu diod pemancar cahaya (LED) khususnya di jalan-jalan gelap di seluruh Parlimen Alor Gajah terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.

Menurutnya, penukaran lampu jalan biasa kepada lampu LED itu ditawarkan kepada penduduk di situ kerana ia adalah salah satu daripada tawaran dalam manifestonya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, ia akan ditunaikan dalam tempoh sebulan sekiranya beliau diberikan mandat sekali lagi memenangi kerusi Parlimen Alor Gajah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Kata Mohd. Redzuan, beliau berharap kerenah birokrasi tidak akan melambatkan usahanya menunaikan janji tersebut, memandangkan penukaran lampu berkenaan tidak serumit memasang tiang lampu baharu yang pasti memerlukan kelulusan pihak berwajib.

“Kalau ada pembekal dalam sebulan kontraktor yang boleh menyegerakan, benda ini mudah hanya menukarkan lampu sodium tekanan tinggi itu kepada penggunaan LED.

“Setakat ini yang kita tahu Asahan tularkan isu ini, jadi kalau di tempat lain kita ambil maklum dan kalau perlu bantu, kita akan bantu, tak ada pilih tempat.

“Tapi kalau saya nak sebutkan tambah tiang ke tempat itu sebenarnya memerlukan kelulusan yang berbeza, ia melibatkan tenaga walaupun hendak tukar lampu, birokrasi itu melengahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Manifesto PN Parlimen Alor Gajah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gangsa di sini, malam tadi.

Pada PRU15, Mohd. Redzuan selaku penyandang berdepan saingan tiga penjuru bersama Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; calon Pakatan Harapan (PH), Adly Zahari dan calon Gerakan Tanah Air (GTA), Muhammad Nazriq Abdul Rahman.

Tambah Mohd. Redzuan lagi, penambahbaikan itu merupakan antara 17 tawaran yang akan dilaksanakan di bawah lima teras hasil aduan rakyat serta misi pembangunan di Parlimen berkenaan.

“Manifesto ini berasaskan daripada maklum balas, isu-isu tempatan, jangan kata kita tak turun padang lima tahun, kita tak perlu beritahu, itu tanggungjawab ahli Parlimen,” ujarnya.

Dalam pada itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) itu turut membidas pihak-pihak yang mendakwanya tidak turun padang selama lima tahun sebelum ini.

“Tak kan semua apa yang saya buat perlu bagi tahu sepanjang masa. Saya ada statistiknya sepanjang menjadi Ahli Parlimen di sini. Kalau saya tak ada, orang saya ada dan mereka uruskan segala masalah rakyat,” ujarnya. – SM

(Visited 168 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button