Nasional

Pegawai Khas Timbalan Menteri KPDN buat laporan polis

Laporan bertujuan dibuat siasatan segera

VIDEO yang memaparkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh membeli barang-barang dengan harga kurang RM200 itu telah disunting oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan disebarkan oleh individu yang dipercayai dengan niat menghina dan mendatangkan kemarahan rakyat.

Demikian dakwaan Pejabat Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan hari ini, satu laporan polis berhubung video yang tular berkenaan telah dibuat oleh Pegawai Khas Fuziah, Aidil Haryman Mat Nor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Pahang.

Menerusi laporan polis berkenaan, Aidil Haryman memaklumkan tindakan itu bertujuan supaya siasatan segera dapat dilaksanakan terhadap beberapa pengguna media sosial yang catatan mereka dilihat berunsur fitnah dan menghasut rakyat agar mempercayai video lampau yang didakwanya, tidak berkaitan dengan keadaan semasa.

“Saya merasakan perbuatan ini amatlah tidak bertanggungjawab dan menimbulkan spekulasi serta menjatuhkan kredibiliti dan maruah seorang menteri kabinet Malaysia selain meremehkan usaha beliau sebagai seorang Timbalan Menteri.

“Tulisan tersebut dengan sengaja mengaitkan dan mengaibkan Timbalan Menteri dengan tujuan menyakiti dan memfitnah beliau,” katanya.

Aidil Haryman berkata, tujuan asal video tersebut dibuat sebelum ini adalah untuk menunjukkan perbandingan harga Jualan RAHMAH Bergerak dengan harga yang diperolehi dari sebuah pasar raya tempatan di Pulau Langkawi, Kedah dan bukannya barang keperluan satu keluarga untuk sebulan.

Namun video itu, jelas Aidil Haryman telah disunting oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan disebarkan oleh individu yang dipercayai dengan niat menghina dan mendatangkan kemarahan rakyat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu ketika dihubungi BERNAMA mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Semalam, Fuziah dilaporkan berkata, video yang melibatkan dirinya itu telah diambil di luar konteks dan ia merupakan rakaman lama yang dibuat beberapa bulan lepas.

Video berkenaan memaparkan beliau membayar beberapa barangan berjumlah RM136.30 dan berpuas hati kerana dapat membelinya pada harga bawah RM200. –  SM

(Visited 84 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button