Nasional

Tren LRT bertembung, 47 cedera parah, 166 cedera ringan

SEBANYAK 47 individu cedera parah manakala 166 cedera ringan dalam kejadian pertembungan dua tren lrt di dalam terowong di antara Stesen Kampung Baru dan KLCC.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.45 malam.

“DIfahamkan satu daripada tren dari arah Kampung Baru ke Gombak adalah tren yang rosak dan sedang dipandu uji oleh seorang pemandu tanpa penumpang.

“Tren daripada arah Gombak pula bergerak secara automatik dan dinaiki 213 penumpang dan telah bertembung dengan tren yang dipandu uji,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

 

Menurut Mohamad Zainal, tren ketika kejadian bergerak selaju 40 kilometer sejam dan pertembungan antara dua tren itu yang membuatkan mangsa tercedera akibat impak pertembungan.

Ujarnya, tren yang dipandu uji itu sepatutnya berada di laluan bertentangan dan bukannya di laluan tren yang membawa penumpang.

“Setakat ini kita belum mengesyaki sama ada terdapat unsur-unsur sabotak di dalam kemalangan ini.

“Ini merupakan satu kemalangan dan kita akan jalankan siasatan di bawah Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat 2010,” katanya.

Sementara itu,  Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, operasi menyelamatkan mangsa memang berisiko memandangkan kemalangan berlaku di dalam terowong.

Jelasnya, operasi menyelamat dijalankan secara berhati-hati memandangkan laluan sempit dan mempunyai risiko melibatkan elektrik.

“Operasi mengeluarkan kesemua mangsa termasuk yang cedera selesai dilakukan kira-kira pukul 9.50, lebih kurang sejam selepas kejadian berlaku.

“Ketika kita tiba di bawah, terdapat pintu tren yang telah dibuka oleh mangsa yang cedera ringan untuk keluar daripada kawasan tersebut,” katanya.

Tambahnya, kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut. -SM

(Visited 720 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button