BeritaPolitik

Politik ketahanan dan berimbang budaya baharu UMNO – Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan dua budaya baharu politik perlu diterapkan dan disemai dalam UMNO, merangkumi politik ketahanan dan politik berimbang.

Katanya, ia bermaksud UMNO hendaklah memperkuatkan daya tahan dan daya juang, agar tidak mudah diurai oleh cabaran keduniaan atau sogokan.

“Sudah tentu, kita diasak, hingga kadangkala melemahkan semangat juang, malah ada yang sanggup menggadai maruah perjuangan. UMNO wajib merubah dirinya, supaya mampu membina sifat ‘ketahanan politik’.

“Ia demi menjadikan parti sentiasa pragmatik dan relevan dengan zaman, ketahanan politik ini perlu diperkasakan bukan hanya dengan perubahan sikap dan minda, tetapi juga dari segi teknologi dan maklumat. Apabila UMNO mampu memenuhi tuntutan masa dan responsif, ia juga merupakan tawaran politik baharu kepada rakyat.

“Muafakat Nasional katanya, adalah cerminan politik berimbang yang melindungi semua kaum, walaupun orang Melayu sebagai terasnya tetapi rakan-rakan kita berketurunan Cina, India, Iban, Kadazan dan kaum-kaum lain turut diraikan,” katanya.

UMNO kata Ahmad Zahid, perlukan mengamalkan politik berimbang bagi menghadapi politik huyung-hayang dan politik songsang.

“UMNO bukan parti yang “rigid, rasis atau terlalu longgar dan liberal,” katanya dalam ucapan dasar presiden pada perhimpunan agung UMNO di PWTC, Kuala Lumpur pagi ini.

Kata Ahmad Zahid, semua pihak perlu mengubah UMNO kepada budaya politik berimbang berasaskan  prinsip perjuangan, keterbukaan dan perundingan selagi asas-asas Perlembagaan dan kontrak sosial tidak dicabuli.

Melalui Muafakat Nasional, kata Ahmad Zahid, UMNO tidak impikan perubahan kerajaan melalui pintu belakang yang terbuka luas. Walaupun ketika ini pintu depan dan pintu belakang terbuka, kita tetap memilih pintu hadapan.

Katanya, pembinaan kerajaan dengan mengikut lunas-lunas demokrasi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

(Visited 65 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button