Berita

Kami ‘dipaksa’ terima keputusan gugur sebahagian laporan audit 1MDB – Saksi

KUALA LUMPUR, 16 Jan — Bekas Pengarah di Jabatan Audit Negara (JAN) Saadatul Nafisah Bashir Ahmad hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau dan bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang telah ´dipaksa´ untuk menerima keputusan berkaitan pengguguran sebahagian Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), semasa mesyuarat penyelarasan pada 24 Feb 2016.

Mesyuarat penyelarasan itu yang dipengerusikan Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada ketika itu di pejabatnya turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy, Tan Sri Shukry Mohd Salleh, bekas Ketua Setiausaha Sulit Datuk Seri Najib Tun Razak dan pegawai di Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Saadatul Nafisah, 65, yang telah bersara itu berkata demikian ketika disoal balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib pada perbicaraan kes pindaan laporan akhir audit 1MDB.

Muhammad Shafee: Ada apa-apa dalam mesyuarat itu dari awal hingga habis, ada KSN atau orang-orang lain memaksa sama ada puan atau Tan Sri Ambrin untuk terima sesuatu keputusan

Saadatul Nafisah: Ya, ada.

Muhammad Shafee: Boleh puan tunjuk dalam (transkrip rakaman audio berhubung mesyuarat pada 24 Feb 2016), di mana paksaan itu dibuat

Saadatul Nafisah: Ada di petikan 285.

Muhammad Shafee selepas membacakan petikan 285 itu menyoal saksi pendakwaan ketujuh itu di mana wujud elemen paksaan yang didakwanya.

Saksi kemudian menjawab “Macam ini adalah statement of facts…kita cuma cakap, tapi akhirnya ia perlu digugurkan kerana tekanan dalam mesyuarat berkenaan”.

Muhammad Shafee: Ini puan yang cakap.

Saadatul Nafisah: Tapi akhirnya perenggan ini digugurkan.

Bagaimanapun, saksi itu berkata beliau menganggap permintaan Ali supaya JAN menimbangkan untuk menggugurkan sebahagian kandungan laporan audit sebagai satu arahan dan mereka seolah-olah ‘dipaksa’ untuk melakukannya.

Ketika diminta Muhammad Shafee untuk menunjukkan bukti paksaan itu lagi, Saadatul Nafisah berkata ia boleh dirujuk pada petikan 325 di dalam transkrip perbualan itu yang direkod secara rahsia oleh saksi pendakwaan keempat, Nor Salwani Muhammad.

Menurut transkrip itu, Ali didakwa berkata kepada Ambrin, “Boleh la ni. AG (Auditor-General) boleh guna budi bicara untuk drop” (ia boleh dilakukan, Ketua Audit Negara boleh menggunakan budi bicara untuk menggugurkan ini).

Muhammad Shafee: Bagaimana kamu melihat ayat ini sebagai satu paksaan

Saadatul Nafisah: Ini adalah paksaan (kerana) jika kita (JAN) tidak menggugurkan perkara itu, isu ini akan dibangkitkan semula.

Bagaimanapun, saksi itu bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa beliau dan Ambrin tidak membantah cadangan yang dikemukakan Ali berkaitan pengguguran itu.

Saadatul Nafisah juga berkata pihak JAN mengambil masa berbulan-bulan untuk mendapatkan maklumat yang lengkap bagi proses pengauditan daripada CEO 1MDB, Arul Kanda sebelum laporan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Arul Kanda kata tiada masalah tetapi maklumat itu tidak pernah sampai kepada kami. Saya jumpa dia (Arul Kanda) banyak kali tetapi tidak tahu sejauh mana kerjasama antara JAN dan 1MDB sebelum ini.

“Sepatutnya, Arul Kanda memberitahu kami dan bukan membiarkan kami menunggu berbulan-bulan. Pihak JAN terpaksa mendapatkan maklumat lain daripada pihak ketiga termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan selepas tidak menerima kerjasama sepenuhnya daripada syarikat pelaburan strategik negara itu,” katanya.

Saksi itu turut berkata beliau juga beberapa kali menghubungi Lembaga Pengarah 1MDB untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan.

“Kami tak dapat 100 peratus, hanya berjaya dapat 60 peratus maklumat daripada 1MDB bagi menyiapkan laporan itu. Itu pun mengambil masa yang lama,” katanya.

Najib, 67, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya, manakala Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan ke atas laporan itu, untuk melindungi Najib daripada dikenakan tindakan.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan Muhammad Shafee supaya PAC memberikan salinan nota prosiding ketika Ambrin memberi keterangan kepada badan itu pada 4 Dis 2018 bagi membantu pihak pembelaan dalam kes tersebut.

Hakim Mohamed Zaini juga memaklumkan mahkamah akan menetapkan satu tarikh lain bagi pengurusan kes untuk menetapkan tarikh perbicaraan seterusnya dan turut mengingatkan saksi agar tidak membincangkan kes tersebut.

— BERNAMA

(Visited 231 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button