Nasional

445 pelajar berhenti sekolah untuk berkahwin

SEPANJANG pandemik ini, seramai 445 pelajar sekolah diseluruh negara berhenti sekolah dengan alasan ingin berkahwin, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Tuan Haji Idris Ahmad.

Idris berkata, berdasarkan data Kementerian Pendidikan, seramai 411 orang adalah pelajar perempuan manakala 34 orang adalah pelajar lelaki.

Antara negeri yang mencatatkan kes tinggi adalah Sarawak dengan 183 kes diikuti Sabah (86), Kelantan (43), Pahang (38), Terengganu dan Perak masing-masing 21 kes.

Kemudian, diikuti Kedah (17), Selangor (12), Johor (10), Perlis dan Pulau Pinang (empat), Negeri Sembilan (tiga), Melaka (dua) dan Labuan (satu).

Idris berkata bagi menjawab pertanyaan Fuziah Salleh (PH-Kuantan) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah pelajar berhenti sekolah untuk berkahwin ketika pandemik.

Sementara itu, Idris berkata permohonan perkahwinan bawah umur bagi orang Islam perlu dibuat di Mahkamah Tinggi Syariah.

“Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri-Negeri juga menetapkan bahawa mana-mana pemohon di bawah umur minimum yang hendak berkahwin hendaklah mendapatkan kebenaran daripada Hakim Syarie terlebih dahulu,”kata Idris dalam jawapan yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen.

Manakala, bagi orang bukan Islam, pendaftaran perkahwinan dibuat di Jabatan Pendaftaran Negara selaras dengan peruntukan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164].

“Bagaimanapun akta ini tidak terpakai bagi seseorang anak Negeri Sabah, Sarawak atau individu orang Asli di Semenanjung yang perkahwinan dan perceraiannya tertakluk kepada undang-undang adat anak negeri atau adat orang Asli melainkan jika mereka memilih untuk berkahwin di bawah akta ini,” katanya. -SM

(Visited 358 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button