Nasional

42,926 individu telah terima manfaat dari program RTW PERKESO

PERKESO lancar promosi kaedah pengurusan hilang upaya menerusi video animasi terbaharu bersama BoboiBoy

BERSEMPENA ulang tahun penubuhannya yang ke-15, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi Program Return To Work (RTW) PERKESO buat julung kalinya melancarkan sebuah video iklan beranimasi penuh mengenai pengurusan hilang upaya, hari ini.

Video animasi tersebut mempertaruhkan watak istimewa daripada siri adiwira tempatan popular, BoboiBoy dengan kerjasama terbitan daripada produksi Monsta. Penghasilan iklan secara animasi ini juga merupakan pendekatan yang segar dan terbaharu daripada PERKESO untuk memberikan kesedaran dan mendidik Keluarga Malaysia khususnya generasi muda mengenai proses intervensi awal pengurusan hilang upaya di bawah Program RTW PERKESO.

Animasi berdurasi 2 minit 22 saat ini mengisahkan mengenai nasib malang yang menimpa seorang pemuda apabila dia ditimpa kemalangan jalan raya ketika sedang membuat penghantaran barangan dan makanan. Kecelakaan tersebut menyebabkan dia terpaksa menjalani pembedahan amputasi pada bahagian anggota kaki dan tangannya.

Namun, dia telah berjaya dipulihkan dengan bantuan pemulihan Program RTW PERKESO dan akhirnya dapat kembali bekerja semula. Lebih menarik, animasi ini turut menampilkan kemunculan tetamu istimewa iaitu Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO.


Berteraskan proses pemulihan yang sistematik dengan pendekatan biopsikosial, Program RTW PERKESO yang mula diperkenalkan pada tahun 2007 ini disediakan kepada Orang Berinsurans (OB) atau pencarum PERKESO yang hilang upaya, agar mereka segera pulih dan dapat kembali bekerja.

Di samping dapat meningkatkan produktiviti negara, kehadiran mereka dalam pasaran buruh juga bermakna mereka dapat kembali menjadi percarum PERKESO yang aktif, sekaligus menyumbang kepada kemampanan dana PERKESO.

Sejak tahun 2007 sehingga akhir Februari 2022, Program RTW PERKESO telah berjaya membantu seramai 42,926 peserta atau individu untuk kembali bekerja.

Iklan promosi ini akan mula ditayangkan di televisyen menerusi saluran stesen Media Prima TV3 pada 11 Mac 2022. Video animasi ini juga boleh ditonton secara dalam talian menerusi platform media sosial rasmi PERKESO dan Animonsta Studios Sdn Bhd. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang PERKESO www.perkeso.gov.my atau hubungi Careline PERKESO 1-300-22-8000. – SM

 

 

(Visited 110 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button