Politik

Lebih 120 ahli Parlimen sokong, Anwar minta beri ruang pada Agong

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa telah mendapat lebih 120 sokongan ahli Parlimen untuk mengambil alih kepimpinan kerajaan daripada Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Anwar dalam satu sidang media khas sebentar tadi berkata, beliau telah memberikan dokumen berbentuk akuan bersumpah serta dokumen sokongan daripada pengerusi parti terbabit kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Justeru beliau meminta semua pihak untuk memberikan ruang kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meneliti dokumen tersebut.

“Saya pohon semua pihak bagi ruang dan wewenang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk jalankan tanggungjawab mengikut lunas Perlembagaan dan budi bicara menelaah dokumen.

“Dan satu dua hari lagi untuk memanggil ketua-ketua Parti mengesahkan dan mendapat input dan pandangan

“Hari ini bukan mengenai kemenangan atau kekalahan sesiapa tetapi untuk tegakkan negara yang maju dan adil,” kata Anwar dalam sidang media khas sebentar tadi.

Anwar tiba di Istana Negara kira-kira 10.30 pagi tadi dan keluar kira-kira sejam kemudian.

Ketua Pembangkang itu  kelihatan ceria selepas  mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bagi mempersembahkan sokongan Ahli Parlimen yang didakwa dimilikinya.

Pada 8 Oktober lalu, Anwar memaklumkan mendapat perkenan mengadap  Al-Sultan Abdullah bagi mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya seperti dinyatakan ketika sidang medianya pada 23 September lalu.-SM

 

 

(Visited 218 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button