Nasional

Tiada pilihan raya sepanjang darurat – PM

TIADA Pilihan Raya Umum, Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Kecil diadakan sepanjang tempoh darurat berkuasa selama 201 hari hari sehingga 1 Ogos ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassi berkata, rakyat tidak mahu pilihan raya diadakan kerana khuatir wabak Covid-19 merebak seperti yang berlaku selepas PRN Sabah.

“Dalam keadaan biasa, Pilihan Raya Kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas kerusi diisytiharkan kosong. Pilihan Raya Negeri juga mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

“Sedangkan kita tahu, rakyat pada masa ini tidak mahu pilihan Raya diadakan untuk mengelakkan wabak COVID-19 merebak seperti yang berlaku selepas Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau menyedari terdapat pihak yang mendesak supaya pilihan raya diadakan.

Beliau menegaskan tidak mempunyai sebarang niat untuk menghalang pilihan raya namun Covid-19 menyebabkan beliau tidak membubarkan Parlimen.

“Perkara utama yang menghalang saya daripada menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar membubarkan Parlimen untuk membolehkan Pilihan Raya Umum diadakan ialah pandemik COVID-19.

“Keputusan untuk tidak mengadakan pilihanraya semasa pandemik COVID-19 masih menular ini adalah selaras dengan satu daripada lima prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga nyawa atau hifz al-nafs.

“Dalam konteks ini, adalah menjadi kewajipan saya sebagai Ketua Kerajaan untuk menjaga nyawa rakyat dengan melindungi saudara dan saudari sekalian daripada jangkitan COVID-19. Ini adalah kemaslahatan paling utama yang dituntut oleh agama Islam,” kata Muhyiddin.

Beliau bagaimanapun menzahirkan komitmen tegas bahawa PRU akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Khas Bebas yang akan ditubuhkan memperakukan bahawa wabak COVID-19 telah pulih sepenuhnya.

Justeru beliau meminta semua ahli politik mengenepikan perbezaan masing-masing dan bersolidariti bersama rakyat sehingga mudarat besar Covid-19 dipulihka.

“Pada masa itu, terpulanglah kepada rakyat untuk memilih kerajaan mana yang layak untuk mentadbir negara ini dan menjaga kebajikan saudara dan saudari sekalian. Inilah komitmen dan akujanji saya yang akan saya tunaikan, insya-Allah,” kata Muhyiddin.-SM

 

 

 

 

(Visited 109 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button