Nasionalpilihan

Saya kadang pening, demam, batuk – Sulaiman Md. Ali

“Kalau saya sakit, tak sampai sini. Saya cakap steady jer,” ujar ringkas Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Ketika ditanya beliau meletakkan jawatan disebabkan masalah kesihatan Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata: “Inilah tak berapa sihat kadang pening, demam…kita manusia mana ada sihat. Ni saya baru lepas batuk.”

Semalam Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Sulaiman meletakkan jawatannya disebabkan faktor kesihatan.

Susulan itu kata Timbalan Perdana Menteri, nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh telah dihantar oleh parti serta dinamakan sebagai calon Ketua Menteri Melaka yang baharu menggantikan Sulaiman.

Sulaiman Md. Ali berucap pada majlis sumbangan Ramadan kepada 120 penerima di Japerun Kuala Linggi, Masjid Tanah, Melaka.

Ditanya berapa kali beliau usul surat letak jawatan kepada Presiden UMNO, Sulaiman berkata, beliau sudah bercakap banyak kali.

Menurutnya, perkara tersebut dianggap sudah selesai (perletakan jawatan).

“Jangan sakit hati sebab sakit hati ini datangnya sakit jantung. Jangan macam tu!,” ujar Sulaiman kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sumbangan Ramadan di Japerun Kuala Linggi, Masjid Tanah, Melaka di sini hari ini.

Mengulas surat pengesahan meletakkan jawatan beliau berkata: “Apa nak komen lagi yang bercakap dan keluar statement pihak kerajaan negeri, my Presiden, apa yang dicakap itulah dia. Itu jer.”

Katanya, beliau sudah penat dan ingin memberi peluang kepada orang lain menjadi Ketua Menteri.

Ditanya mengenai perjanjian dengan Presiden UMNO sehingga beliau rela melepaskan jawatannya, Sulaiman berkata: “Memang tidak ada perjanjian. Bulan puasa ini tak boleh cakap bohong tau. Saya cakap ini ikhlas, saya tak mahu dah dan bagi peluang pada orang lain pulak.”

Beliau menambah, tidak mahu memegang sebarang jawatan selepas ini sebaliknya ingin kembali kepada kehidupan biasa dengan memberi tumpuan kepada masyarakat di Lendu.

“Saya tidak mahu dah hidup macam dulu saya mahu back to my normal life,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata, beliau sudah lama dan banyak kali menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri.

“Dulu saya dah kata mahu duduk sepenggal sebagai Ketua Menteri,” ujarnya.

Ditanya apa yang perlu Ketua Menteri Melaka Ke-13, Ab. Rauf perlu lakukan selepas mengangkat sumpah petang esok (Jumaat), Sulaiman berkata: “Tak payah semua benda dah ada sebab masing-masing ada kelebihan. Kita mesti sokong dan mendokong sebaik yang mungkin.”

Jelasnya, beliau berharap Ab. Rauf yang menggantikannya selepas ini buatlah yang terbaik.

Beliau turut menyangkal perletakan jawatanya itu adalah disebabkan desakan daripada pihak-pihak tertentu.

“Desakan adalah hati saya yang datang dari naluri saya,” ujarnya. – SM

(Visited 232 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button