Politik
Trending

Rombakan Kabinet: ‘Tidak perlu puaskan hati semua orang’

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu memuaskan hati semua orang atas kehendak tertentu dengan melakukan rombakan Kabinet.

Sebaliknya, sebarang perubahan yang hendak dilakukan seharusnya melalui proses rundingan antara ketua-ketua parti yang bersama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Malah, kerajaan ini dikatakan terlalu muda untuk melakukan rombakan Kabinet.

Ini kerana Kabinet sedia ada didakwa mampu melaksanakan tanggungjawab untuk memacu pembangunan negara dengan baik dan menangani krisis wabak pandemik.

“Kenapa kita harus merombak Kabinet? Kita baru berapa bulan sahaja jadi kerajaan? Kepada sesiapa yang mendesak supaya rombakan Kabinet dibuat, itu hanyalah pendapat peribadi.”

Demikian kata Menteri di Jabatna Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof seperti dipetik laporan Berita Harian hari ini.

Beliau juga berkata demikian kerana yakin Kabinet sedia ada disokong oleh rakyat serta mampu berfungsi dengan baik.

Terdahulu, terdapat dakwaan mengatakan rombakan Kabinet akan diumumkan esok susulan terdapat isu berkaitan pengagihan jawatan Jemaah Menteri dikatakan tidak memihak kepada UMNO.

Ia dikatakan susulan daripada kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menegaskan portfolio penting dalam Kabinet perlu diberikan kepada UMNO.

Desakan demikian kerana, UMNO merupakan kerusi terbanyak dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin yang menyokong beliau untuk menjadi Perdana Menteri.

Perbandingan turut dibuat kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikatakan menyumbang sembilan kerusi sahaja.

Bagaimanapun, Mohd. Redzuan menegaskan Muhyiddin tidak seharusnya tunduk kepada tuntutan pihak tertentu.

Sebaliknya, pemimpin dalam PN perlu lebih bertanggungjawab dalam memelihara kerjasama yang terbina untuk mempertahankan kerajaan sekarang.

“Kita kena perkukuh kerajaan, bukannya memecah-belahkan perpaduan. Jika ada pihak mendakwa dia menyokong si polan dan pihak lain pula menyokong si polan lain, kita harus bermuhasabah kerana kita berjuang untuk rakyat.

“Kita patuh kepada undang-undang dan Perlembagaan. Rakyat amat memahami masa depan negara amat bergantung kepada kestabilan politik,” ujarnya. – SM

(Visited 200 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button