Nasional

4 universiti capai 200 terbaik, KPT sasar kedudukan penarafan 100 universiti terbaik dunia 2025

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini telah menganjurkan Seminar IPT ‘Institusi Pengajian Tinggi Berimpak Tinggi’ di ibu negara bagi memberi penekanan khusus pada penarafan antarabangsa.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam ucapan perasmiannya berkata penarafan seperti QS World University Ranking boleh menjadi batu loncatan dalam membantu institusi tinggi mencapai aspirasi Rancangan Malaysia Ke-12, khususnya yang berada di bawah bidang kuasa KPT.

Noraini (duduk tengah) bersama antara 52 peserta seminar terdiri daripada Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor serta pengarah-pengarah Jabatan Strategik IPT awam dan swasta di Hotel Royal Chulan, Damansara baru-baru ini.

“Kementerian mengakui terdapat pelbagai cara untuk mengukur kualiti dan impak IPT salah satunya adalah melalui penarafan, memberi penekanan khusus pada penarafan QS, yang merupakan salah satu pengiktirafan antarabangsa menilai populariti dan keberkesanan IPT di seluruh dunia,” jelasnya ketika Majlis Makan Malam High Learning Institutions (HLI) di Hotel Royal Chulan, Damansara, bersama 52 peserta terdiri daripada Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor serta pengarah-pengarah Jabatan Strategik IPT awam dan swasta.

Hadir sama, Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) KPT, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar.

KPT, katanya, menyasarkan salah satu indeks prestasi utama mempunyai sekurang-kurangnya dua universiti tempatan dalam 100 kedudukan teratas QS World University Ranking (WUR) pada 2025.

Penarafan QS, yang merupakan salah satu pengiktirafan antarabangsa menilai populariti dan keberkesanan IPT di seluruh dunia – Noraini Ahmad

“Universiti Malaya misalnya telah disenaraikan dalam 100 universiti terbaik dalam QS WUR 2023, malah secara keseluruhan, empat universiti tempatan telah tersenarai dalam 200 teratas dunia.

“Lebih membanggakan, buat julung kalinya, sebanyak 24 IPT Malaysia telah disenaraikan dalam QS Ranking.
“Pencapaian sebegini membawa kita lebih hampir setanding dengan IPT lain yang bereputasi di negara maju,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, Universiti Malaya berada di kedudukan 70 terbaik dunia, manakala Universiti Putra Malaysia di tempat 123, Universiti Kebangsaan Malaysia, 129, dan Universiti Sains Malaysia, 143 terbaik dunia untuk penarafan tahun 2023.

Seminar sehari itu melibatkan sekretariat daripada pihak QS World University Ranking yang berpangkalan di London untuk menyampaikan sendiri pengisian bermanfaat kaedah penyelarasan tepat serta strategi melibatkan pengantarabangsaan pusat pengajian, pengukuran pencapaian, sasaran pembangunan kelestarian sosial dan kerajaan (SDGS) dan pengemaskinian indikator terkini penarafan 2024.

“Malaysia telah menjadi destinasi pengajian tinggi pilihan hasil pendidikan berkualiti yang disediakan, di samping kos pendidikan dan sara hidup yang berpatutan dengan peningkatan sebanyak 32% pada tahun 2021, berbanding ketika wabak melanda pada tahun 2020.

“Menerusi data, IPT telah menerima 131,000 pelajar antarabangsa, sekiranya kadar pengambilan meningkat dalam beberapa tahun akan datang, kementerian percaya dapat mencapai sasaran 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2025, sekali gus meningkatkan lagi kedudukan kita sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa.” jelasnya lanjut.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad bersama delegasi sekretariat QS World University Ranking

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata sebagai salah sebuah universiti awam, UPSI akan terus menyahut saranan KPT untuk memperkasa penarafan QS menerusi agenda kolaborasi antarabangsa bersama universiti terkemuka dalam bidang pendidikan.

“Buat julung-julung kalinya, UPSI telah diiktiraf QS University World Ranking sebagai kedudukan 801-1000 terbaik dunia pada tahun 2022 dan optimis dengan mengukuhkan penarafan yang lebih tinggi hingga kedudukan 500 terbaik dunia,” jelasnya.

(Visited 242 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button