Ekonomi

Pendapatan Glomac meningkat kepada RM341 juta

GLOMAC Berhad (Glomac) melaporkan jumlah pendapatan sebanyak RM341.0 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2023, peningkatan 31 peratus berbanding RM259.5 juta yang dilaporkan dalam tempoh yang sama bagi TK2022.

Hasil kumpulan bagi suku keempat TK2023 melonjak 78 peratus dalam tempoh tahun ke tahun kepada RM131.1
juta.

Pendapatan kumpulan meningkat kesan dari aktiviti pembinaan yang berterusan, termasuk fasa pembangunan terkini di projek perbandaran Saujana Perdana di Sungai Buloh, serta Plaza@Kelana Jaya dan 121 Residences, dua pembangunan kediaman bertingkat tinggi di daerah Petaling Jaya – Damansara.

Bagi tahun ini, keuntungan sebelum cukai mencatatkan penurunan berjumlah RM50.5 juta, kesan peningkatan kos pembinaan serta perbelanjaan kos operasi yang lain. Keuntungan sebelum cukai suku keempat TK2023 pula berjumlah RM20.9 juta.

Kedudukan kewangan Glomac kekal sihat pada posisi penggearan bersih 0.16x setakat 30 April 2023, berbanding dana pemegang saham sebanyak RM1,177.8 juta.

Kedudukan wang tunai dan deposit tunai terus meningkat kepada RM288.8 juta.

Aset bersih kumpulan bagi setiap saham juga meningkat lebih tinggi kepada RM1.53 tahun ini berbanding RM1.51 tahun sebelumnya.

Untuk TK2023, Lembaga Pengarah telah mencadangkan dividen peringkat tunggal terakhir sebanyak 1.25 sen setiap saham, ini diterjemahkan kepada 4 peratus hasil dividen pada harga saham semasa.

Jumlah ini akan tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan yang akan
datang.

Penawaran produk Glomac yang kukuh dan kempen jualan yang berkesan telah menyebabkan peningkatan 89 peratus jualan baharu berjumlah RM302 juta untuk tahun ini.

Fasa pembangunan berterusan di Saujana Perdana dan Saujana Utama 5, serta kediaman bertingkat tinggi di Plaza@Kelana Jaya dan 121 Residences terus menjana jualan yang stabil.

Pada suku keempat TK2023, Glomac memperkenalkan fasa komersial di bawah projek perbandaran Saujana Perdana yang mendapat sambutan yang menggalakkan.

Kadar pembelian 81 rumah kedai dengan GDV sebanyak RM68 juta adalah memberansangkan.

Pada 30 April 2023, pertumbuhan jualan yang lebih kukuh telah diterjemahkan kepada jualan yang tidak dibilkan sebanyak RM528 juta, memberikan gambaran pendapatan jangka pendek.

Bagi tahun kewangan baharu, Glomac terus menumpukan perhatian untuk memastikan jadual pembinaan diuruskan dengan baik serta penyerahan mengikut jadual bagi semua projek yang sedang diteruskan.

Glomac mempunyai perancangan projek yang kukuh dengan GDV sebanyak RM8 bilion untuk terus memacu aktiviti pembangunan dan mengekalkan momentum jualannya.

Penekanan masih tertumpu kepada projek perbandaran dan pembangunan kediaman mampu milik khasnya kawasan persekitaran KL serta pasaran perbandaran dan pembangunan pertengahan di mana Glomac sebagai pemaju terkenal dengan rekod prestasi yang kukuh.

Tahun ini, Glomac telah dianugerahkan Star Property Award 2023 – “Excellence” The Starter Home Award – Best Primary Home Development (Landed) within Greater KL bagi rumah teres dua tingkat Primrose di Saujana KLIA, sebuah pembangunan perbandaran yang berjaya bernilai RM1.4bilion terletak di Sepang.

Ini merupakan satu pengiktirafan terhadap kekuatan Glomac dalam keupayaannya untuk memperkenalkan rumah inovatif berkualiti yang memenuhi keperluan pembeli.  – UTUSAN

(Visited 65 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button