Nasionalpilihan

Raja Muda zahir syukur perpaduan kukuh di Perlis

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan kesyukuran atas keharmonian dan perpaduan yang kukuh di negeri ini.

Baginda bertitah, semoga perpaduan yang ada akan terus jitu dan harmoni.

Titah Baginda, janganlah sesekali alpa dan leka untuk mendidik golongan muda agar terus berada di landasan yang betul dalam usaha memelihara kesepakatan dan kesefahaman yang sedia terjalin sejak sekian lamanya sehingga ke hari ini

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengurniakan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada salah seorang asnaf di Dewan Solat Sementara, Masjid Al-Munauwarah, Mata Ayer, Arau.

“Perpaduan yang utuh juga merupakan kekuatan dan asbab kecemerlangan sesebuah tamadun dan dari Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud: – “Berpegang teguhlah kamu seluruhnya dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah,” titah Baginda.

Demikian titah Baginda dalam siaran media oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan berangkat menyempurnakan sumbangan Agihan Zakat MAIPs kepada 70 asnaf terpilih di Dewan Solat Sementara, Masjid Al-Munauwarah, Mata Ayer baru-baru ini.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bertitah sempena sumbangan agihan zakat MAIPs kepada salah seorang asnaf di Dewan Solat Sementara, Masjid Al-Munauwarah, Mata Ayer, Arau.

Kesemua penerima yang merupakan anak Kariah Mata Ayer ini masing-masing menerima wang tunai sumbangan MAIPs bernilai RM700 setiap seorang dari Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan Yang Dipertua MAIPs dengan agihan kali ini berjumlah RM49,000.

Pada kesempatan yang sama Raja Muda turut berharap agar ibu bapa dan penjaga terus mendidik anak-anak tentang prinsip beretika, berintegriti, berani serta berwawasan dan sentiasa mahu mencorak serta menggerakkan perubahan dalam kehidupan masing-masing bagi menjadi lebih baik dan berjasa untuk diri sendiri, keluarga, negeri, negara dan juga agama. – SM

Artikel berkaitan > Beri perhatian serius terhadap keselamatan negara – Raja Muda Perlis

(Visited 99 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button