MahkamahNasionalNegeri

Lelaki OKU mengaku bersalah tembak polis, miliki senjata api, dadah

SEORANG lelaki kelainan upaya (OKU) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Pengerang, Johor, hari ini atas tujuh pertuduhan memiliki senjata api dan dadah termasuk melepaskan tembakan ke atas polis.

Tertuduh, Muhammad Firdaus Paiman, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Sazlina Shafie.

Muhammad Firdaus yang berstatus duda didakwa memiliki pistol jenis Beretta Gardone VT dan selaras senapang patah buatan sendiri dalam sebuah kereta di tepi Masjid Al Ikhwan Gugusan Adela, Pengerang, Johor pada kira-kira pukul 1 pagi, 10 Mei lalu.

TERTUDUH diiringi polis ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Pengerang atas pertuduhan memiliki senjata api, peluru tanpa lesen, dadah dan menembak polis. – GAMBAR SINAR HARIAN

Bapa dua anak itu juga didakwa memiliki tiga butir peluru jenis Kartus 12 Bore dan empat butir peluru jenis 9 milimeter tanpa lesen senjata yang sah pada lokasi, waktu dan tarikh yang sama.

Muhamad Firdaus turut didakwa memiliki selaras senapang angin buatan sendiri tanpa lesen senjata yang sah di Felda Tunggal, Pengerang kira-kira pukul 2.30 pagi, juga pada 10 Mei lalu.

Bagi pertuduhan memiliki pistol dan senapang patah, dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan juga sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan memiliki senapang angin dan peluru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Irsyad Mardi sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Sazlina kemudiannya menetapkan tarikh 15 Jun depan bagi sebutan semula kes dan keputusan penghakiman sementara menunggu laporan kimia.

Sementara itu, Muhamad Firdaus turut mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Tinggi atas tiga pertuduhan memiliki senjata api dan dadah termasuk melepaskan tembakan ke atas seorang anggota polis.

Tertuduh didakwa telah melepaskan tembakan menggunakan senjata api dengan niat menyebabkan kecederaan terhadap Lans Koperal Mohd Shafiq Nazrin Razali yang cuba menangkapnya di bulatan Lotus Desaru Bandar Penawar, Pengerang, kira-kira pukul 3.35 petang, 7 Jun 2016.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati.

Tertuduh turut didakwa memiliki dadah jenis nimetazepam seberat 0.44 gram dan kanabis seberat 0.90 gram di tepi jalan Masjid Jamek Al Ikhwan Gugusan Felda Adela pada kira-kira pukul 1 pagi pada 10 Mei lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB), 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau maksimum penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Muhamad Firdaus turut didakwa di bawah Seksyen 6 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid.

Majistret Rashidah Baharom menetapkan 6 Julai depan untuk sebutan kes berkenaan dan memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Majistret Pengerang. – SINAR HARIAN – SM

BACA Suspek rampas senjata di Balai Pengawal sebelum tembak rakan

BACA Dua lelaki ditahan miliki dadah, senjata api

(Visited 37 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button