fbpx
Nasional

Pengidap kencing manis meningkat ketara di Perlis

Kajian Penyakit Tidak Berjangkit dan Faktor-faktor Risiko’ didapati prevalen yang tinggi dan peningkatan yang ketara dilihat dalam prevalan kencing manis di Perlis begitu juga dengan obesiti dan obesiti abdomen. Hampir 99 peratus wanita dan penduduk luar bandar tidak makan sayur dan buah yang mencukupi.

Walaubagaimana pun Perlis mencatatkan penurunan dalam prevalen hipertensi, prevalen tidak aktif secara fizikal dan prevalen merokok. Begitu juga saringan kanser dan literasi kesihatan di Perlis juga amat baik daripada purata prevalen Malaysia.

Demikian dipersembah maklumkan oleh Pegawai Perubatan Pusat Penyelidikan Bebanan Penyakit, Institut Kesihatan Umum (IKU) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Shubash Shander Ganapathy kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di majlis pembentangan hasil kajian ‘Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019: Penyakit Tidak Berjangkit Bagi Negeri Perlis’ yang diadakan di Galeri DiRaja Arau semalam.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda sulung bagibda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.


Delegasi dari KKM diketuai oleh Pengarah Institut Kesihatan Umum, Dr. Noor Ani Ahmad dan turut diiringi oleh Pegawai Perubatan Pusat Penyelidikan Polisi Kesihatan, Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan, Dr. Ainul Nadziha Mohd Hanafiah serta Pegawai Farmasi Pusat Penyelidikan Ekuiti Kesihatan Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan, Suhana Jawahir.

Untuk rekod, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 adalah bertujuan memberikan data dari peringkat komuniti di seluruh Malaysia bagi mengenalpasti status kesihatan penduduk di negara ini. Dapatan ini digunakan bagi menyemak keberkesanan program kesihatan sedia ada, merancang program kesihatan baru serta merancang pembahagian sumber iaitu manusia dan fasiliti.

Tambah Dr. Shubash, NHMS yang pertama dijalankan adalah pada tahun 1986. Sejak 2011, NHMS dijalankan dalam kitaran 4 tahun sehinggalah ke hari ini. Objektif umumnya ialah memperoleh data dari peringkat komuniti berkenaan ‘Penyakit Tidak Berjangkit dan faktor-faktor risiko’, beserta ‘Permintaan Jagaan Kesihatan’, untuk keperluan Kementerian Kesihatan. Manakala objektif Khususnya (NCD) ialah menentukan prevalan kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi, status nutrisi, amalan pemakanan, anemia, kemurungan, literasi kesihatan dan sebagainya. Sebanyak 253 Tempat Kediaman (TK) di Perlis berjaya dilaksanakan dengan kajian ini dan mencapai 96.2% kadar respon.

Menurut Suhana pula, Modul Permintaan Jagaan Kesihatan menyimpulkan 53.4% penduduk Perlis tidak mempunyai pembiayaan kesihatan tambahan yakni hanya 3.1% menggunakan tuntutan insuran. Manakala 37.4% bagi perbelanjaan sendiri (out-of-pocket expenditure) digunakan di farmasi komuniti, 26.7% digunakan bagi jagaan kendiri (pembelian suplimen dan makanan tambahan) dan 20.3% bagi jagaan kesihatan pesakit oleh penduduk Perlis. Selain itu, 25.8% penduduk Perlis menggunakan sumber kewangan tidak mampu milik untuk jagaan kesihatan, ini dianggap kekurangan perlindungan risiko kewangan penjagaan kesihatan.

Hadir sama ke sesi tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor dan Setiausaha Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis Datuk Johari Mohd Darus.

Ia turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr. Sirajuddin Hashim, Pengarah Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, Dr. Othman Warijo, Timbalan Pengarah (Perubatan) HTF Kangar Datuk Dr. Abdul Karim Abdullah dan Pakar Perunding Perubatan Dalaman Akut Jabatan Perubatan HTF Kangar, Prof. Datuk Dr Paras Doshi.

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button