BeritaPendidikan

38 pelajar PhD tajaan MAIPs bakal menamatkan pengajian

Seramai 38 orang pelajar peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sedang mengikuti pengajian masing-masing di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di bawah program ‘Biasiswa Kursi Jamalullail’. Ada antara mereka yang akan menamatkan pengajian masing-masing pada tahun ini.

24 projek ‘Geran Penyelidikan Jamalullail’ membabitkan topik-topik Pembangunan ekonomi asnaf zakat yang melibatkan fakir dan miskin, Pendidikan, Autisme, Pelancongan, Pengurusan masjid, Pengurusan kubur dan Pembangunan ekonomi ibu tunggal dilaksanakan melalui bidang-bidang Pengajian Islam (8), Kewangan dan Perbankan Islam (6), Pelancongan (2), Pengajian Bahasa Arab & Bahasa Inggeris (2) serta Pendidikan (10).

Antara objektif penubuhan kursi ini adalah untuk memberikan 50 biasiswa kepada rakyat Malaysia dan antarabangsa untuk mengikuti pengajian peringkat ijazah kedoktoran di UIAM. Selain itu ia juga bertujuan untuk melonjakkan penyelidikan dalam bidang-bidang tersebut bagi menyelesaikan masalah dan isu yang dihadapi oleh komuniti setempat.

Demikian dipersembah maklumkan oleh Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak ketika majlis sembah mengadap ke atas Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau.


Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir mewakili UIAM ialah Penyelaras Kursi Jamalullail Dr. Mohd Azrul Azlen Abd. Hamid, Pengarah, Pejabat, Ilmu untuk Perubahan dan Kemajuan (KCA) Prof Madya Dr Lihanna Borhan, Timbalan Pengarah, Pengurusan Pengubahan dan Holokrasi (OSIC) Dr. Zurina Abd Ghani dan Timbalan Pengarah, Pejabat, Ilmu untuk Perubahan & Kemajuan (KCA) Rusnani Din @ Yaakob.

Tuanku Syed Sirajuddin menitahkan rasa bangga kerana hasrat penubuhan Kursi Jamalullail berkenaan telah menunjukkan impak positif dalam mensejahterakan ummah, dan hasil sumbangan zakat dapat terus dikembangkan bagi meninggikan syiar Islam.

Ia juga telah memperolehi pengiktirafan antarabangsa melalui ‘IIUM Flagship : ‘Stingless Bee Smart Farming’ oleh Prof Madya Dr. Adibah Amir dan pasukan sebagai ‘Finalist in the 2022 International Green Gown Award Benefitting Society Category’.

Antara persidangan antarabangsa yang telah dan akan dilaksanakan setakat ini ialah ‘The Inaugural Jamalullail Chair for Prophetic Sunnah International Conference (JCIC1)’ 18-19 November 2020, International Conference On Languages, Education & Tourism 2021 (ICLET 2021)’ 28-30 Jun 2021 dan ‘The Third Jamalullail Chair International Conference On Sustainable Development Goals (JCIC SDG)’ 7-9 Disember 2022.

Untuk rekod, Kursi Jamalullail adalah inisiatif di bawah MAIPs bagi mempromosikan penyelidikan dan pengajian khusus dalam bidang Pengajian Islam, Perbankan dan Kewangan Islam,
Pengajian Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris, Pelancongan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Penubuhan kursi ini telah dirasmikan oleh Tuanku Raja Perlis pada 7 Februari 2019.

(Visited 336 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button