KesihatanNasionalPencemaran

Larangan ambil kupang dari perairan Port Dickson masih dikuatkuasa

LARANGAN mengambil kerang-kerangan (dwicengkerang) atau kupang dari perairan Port Dickson (PD), Negeri Sembilan masih dikuatkuasakan demi keselamatan pengguna, kata Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) negeri, Kasim Tawe.

Ini kerana, katanya, sampel ketiga kupang dan air dari perairan itu yang dianalisis makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur (PBPKL) didapati masih mengandungi biotoksin melebihi kadar selamat untuk dimakan.

Pegawai Jabatan Perikanan mengangkat pancang kupang untuk mengambil sampel bagi tujuan analisis di kawasan penternakan kupang di Kampung Telok pada 5 April lalu. (Gambar Bernama)

“Sampel keempat kupang dan air diambil sekali lagi di perairan Port Dickson dan dihantar ke makmal PBPKL semalam. Keputusan analisis makmal dijangka diketahui 26 April nanti,” katanya menurut laporan Bernama.

Pada 2 April lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) memaklumkan lapan kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang di Port Dickson.

Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr Harlina Abdul Rashid dilaporkan berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson menerima notifikasi dari Hospital Port Dickson memaklumkan dua kes pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi, lima kes dimasukkan ke wad biasa dan satu kes dirawat sebagai pesakit luar.

Katanya, siasatan awal mendapati semua kes itu yang mengalami gejala sakit kepala, kebas tangan dan kaki serta lemah otot membabitkan beberapa keluarga berbeza pernah makan kupang dibeli dari dua pasar di sekitar Port Dickson.

Beliau berkata, dua kes yang dimasukkan ke ICU itu mengalami gejala lebih teruk iaitu paralisis.

Susulan itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) DOF, Wan Aznan Abdullah pada 4 April lalu berkata, hasil analisis makmal PBPKL menunjukkan terdapat alga berbahaya menyebabkan kupang di perairan Port Dickson dicemari dan tidak selamat dimakan.

Menurut beliau, sampel air dan kupang di perairan itu dicemari biotoksin serta alga spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia berbahaya. – SM

BACA Kupang di perairan Port Dickson dicemari biotoksin

BACA Larangan memakan kupang, dwicangkerang dari Melaka

(Visited 12 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button