BanjirNasional

342 menara komunikasi terjejas banjir sedang dibaik pulih

TINDAKAN bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)  dengan syarikat-syarikat komunikasi akan membaikpulih 342 menara komunikasi yang terjejas akibat banjir.

Menteri KKMM, Tan Sri Annuar Musa berkata, usaha membaik pulih menara-menara komunikasi  yang terjejas termasuklah kawasan-kawasan kritikal di Selangor.

“Kita sedang bekerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi dalam usaha membaik pulih menara-menara komunikasi yang terjejas susulan banjir besar yang melanda di beberapa buah negeri termasuk kawasan-kawasan kritikal di negeri Selangor pada hujung minggu lalu.

“Secara keseluruhannya sehingga 22 Disember iaitu semalam, sebanyak 342 menara yang terkesan di Selangor. Daripada jumlah tersebut, 153 menara telah berjaya beroperasi semula dan 189 menara masih dalam baik pulih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam usaha untuk membaikpulih dan menangani masalah menara-menara komunikasi, kata Annuar, terdapat kekangan yang dihadapi oleh pihak MCMC.

Kata beliau, antara kekangan yang dihadapi oleh pihak MCMC dan syarikat-syarikat telekomunikasi ialah tidak dapat mengakses ke lokasi menara dan bekalan elektrik diputuskan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tujuan keselamatan penduduk setempat.

“Kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan dan menara telekomunikasi yang terjejas dijangka akan kembali beroperasi tidak lama lagi dan pemancar di kawasan yang terlibat akan diaktifkan semula secepat mungkin sebaik sahaja bekalan elektrik diberi oleh pihak TNB.

“Pihak MCMC juga telah mengadakan perbincangan dengan persatuan-persatuan radio amatur bagi mendapatkan bantuan perkhidmatan mereka sebagai saluran perhubungan alternatif bagi kawasan-kawasan yang terkesan,” jelasnya.

Katanya lagi, beberapa stesyen radio amatur telah mula beroperasi dan ditempatkan di beberapa kawasan yang terjejas teruk oleh bencana banjir.

Annuar memberi pesanan kepada para penduduk diminta bersabar sementara tindakan mitigasi giat dijalankan bagi memastikan semua penduduk akan dapat kembali menikmati perkhidmatan telekomunikasi seperti sedia kala. – SM

(Visited 196 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button