BanjirNasional

34 rumah rosak teruk di Sg Lui diganti baharu, percuma

BERITA baik bagi pemilik rumah yang rosak teruk akibat banjir yang melanda Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor. Rumah mereka akan diganti baharu.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kira-kira 34 kediaman di Sungai Lui yang terjejas teruk akibat banjir akan digantikan dengan rumah baharu menerusi bantuan Rumah Kekal Banjir (RKB) Kementerian Kerja Raya.

Beliau berkata, rumah-rumah itu diberikan secara percuma kepada pemilik rumah yang bukan sahaja rosak teruk tetapi juga dihanyutkan arus deras.

Katanya, terdapat dua jenis reka bentuk yang dicadangkan dan bergantung kepada kelulusan akhir iaitu rumah dibina atas tanah atau rumah bertiang.

“Rumah bertiang bernilai RM70,000 manakala rumah atas tanah, RM56,000 seunit. Rumah ini berkeluasan 660 kaki persegi, tiga bilik tidur, satu bilik air, satu ruang tamu dan ruang makan,” katanya.

Beliau berkata demikian hari ini selepas meninjau proses pembinaan Jambatan Compact 200 Bailey di Batu 19, Sungai Lui, Hulu Langat.

Katanya lagi, kesemua mangsa banjir yang layak menerima bantuan berkenaan dikenal pasti melalui kepimpinan masyarakat setempat seperti penghulu atau ketua kampung dan disahkan oleh Pejabat Daerah berkaitan.

RKB akan dibina di atas tanah milik mangsa banjir yang layak menerima bantuan tersebut dan proses pembinaannya, kata Fadillah, bergbantung kepada rundingan bersama tuan tanah dan sebagainya.

“Jika mereka, tuan tanah, bersetuju dengan cadangan konsep rekabentuk rumah, maka apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapat peruntukan kelak, kita akan membuat proses selanjutnya seperti melantik kontraktor,” jelasnya.

Tambah beliau, bantuan berkenaan akan diperluas ke negeri lain yang dilanda banjir teruk seperti Pahang dan Kelantan namun mengikut keperluan sekiranya bencana itu mengakibatkan banyak rumah yang mengalami kerosakan teruk. – BERNAMA – SM

(Visited 281 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button