Ekonomi

33,300 Peluang Kerja Baharu untuk Rakyat, Malaysia Kekal Destinasi Pelaburan Pilihan

MALAYSIA terus mengekalkan momentumnya sebagai destinasi pelaburan pilihan serantau apabila berjaya merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM89.8 bilion dalam tempoh Januari hingga Mac 2025 – meningkat 3.7% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Lebih daripada sekadar angka besar, pelaburan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan terhadap pembangunan bakat tempatan, apabila ia berupaya mencipta lebih 33,300 peluang pekerjaan baharu – majoritinya dalam kategori berkemahiran tinggi dan berpendapatan lumayan.

Fokus kepada Peluang Pekerjaan Berkualiti Tinggi

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, menegaskan bahawa pelaburan yang diterima bukan sekadar menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi juga meningkatkan taraf hidup rakyat.

Beliau turut memaklumkan bahawa Indeks Pengurusan, Teknikal dan Penyeliaan (MTS) telah mencatat peningkatan daripada 44.2% (Q1 2024) kepada 46.3% (Q1 2025) – satu petunjuk jelas bahawa Malaysia sedang menuju ke arah ekonomi yang dipacu oleh pekerjaan bernilai tinggi.

“Apa yang penting bukan hanya jumlah pelaburan, tetapi bagaimana ia menyumbang kepada kualiti hidup rakyat. Apabila lebih ramai rakyat Malaysia diserap ke dalam sektor pekerjaan berkemahiran tinggi, kita bukan sekadar menarik pelaburan – kita sedang membina masa depan yang lebih mampan dan inklusif,” jelas beliau.

Perkhidmatan & Pembuatan Pacu Pekerjaan Teknologi Tinggi

Sektor perkhidmatan menyumbang bahagian terbesar dengan RM57.8 bilion, meningkat 39.5% berbanding tahun lalu, dan mewujudkan lebih 15,000 pekerjaan – terutamanya dalam bidang teknologi maklumat, pusat data dan logistik yang memerlukan kemahiran digital dan teknikal yang tinggi.

Sementara itu, sektor pembuatan pula menerima RM30.5 bilion melalui 207 projek, dijangka menjana lebih 18,000 pekerjaan baharu, dengan 84% daripadanya disumbang oleh pelaburan asing. Sub-sektor logam asas, elektrik & elektronik serta kimia antara penyumbang utama yang menyokong pemindahan teknologi dan peningkatan nilai rantaian bekalan.

Malaysia Ke Hadapan dalam Ekonomi Digital dan Semikonduktor

Melalui pelaksanaan Strategi Semikonduktor Negara (NSS) dan inisiatif DC Nexus, Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai hab teknologi serantau. Inisiatif ini bukan sahaja menjadikan Malaysia lebih kompetitif, malah memastikan limpahan ekonomi turut dinikmati oleh tenaga kerja tempatan yang mahir dan berpotensi tinggi.

Pelaburan yang Bawa Manfaat Nyata kepada Rakyat

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim, menegaskan bahawa fokus utama agensi adalah memastikan pelaburan yang dibawa masuk mencipta peluang sebenar untuk rakyat dan ekonomi tempatan.

“Projek-projek yang kami bawa masuk bukan sekadar angka di atas kertas. Ia membentuk peluang pekerjaan, membangunkan kemahiran, menaikkan gaji dan menggerakkan ekonomi tempatan. Yang paling penting, kami mahu rakyat Malaysia merasai sendiri manfaat pelaburan ini secara langsung,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button