Nasionalpilihan

320,000 pekerjaan diwujudkan di bawah Majlis Pekerjaan Negara

SEBANYAK 320,000 peluang pekerjaan sudah diwujudkan menerusi insiatif Majlis Pekerjaan Negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafru Abdul Aziz berkata, sasaran yang diletakkan adalah sebanyak 500,000 pekerjaan dan penempatan latihan kemahiran melalui kerjasama strategik agensi kerajaan serta pemain industri.

“Kerajaan juga memperuntukkan RM2 bilion bagi program PenjanaKerjaya di bawah Belanjawan 2021 dengan PenjanaKerjaya 2.0 berjaya membantu lebih 141,000 orang mendapat pekerjaan.

“PenjanaKerjaya 3.0 pula diperkenalkan melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan beberapa penambahbaikan.

“Antaranya ialah dengan mengurangkan had kelayakan gaji bagi program Malaysianisation dan pelonggaran tempoh kontrak penggajian bagi kategori pekerja berusia 50 tahun ke atas, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan bekas banduan,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-64.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan turut menyedari keperluan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro melunaskan pelbagai komitmen seperti bil, sewa dan bayaran gaji pekerja.

Menyedari keadaan itu, beliau berkata, pelbagai bantuan berterusan sudah dan sedang dilaksanakan bagi menjamin kelangsungan serta melonjakkan kembali perniagaan mereka.

Katanya, ini termasuk peruntukan hampir RM20 bilion untuk Program Subsidi Upah dengan sejumlah RM15.6 bilion disalurkan setakat ini bagi memberi manfaat kepada lebih 330,000 majikan, selain menyelamatkan 2.8 juta pekerja daripada kehilangan pekerjaan.

“PKS yang mengalami kekurangan pendapatan akibat COVID-19 akan diberi subsidi upah sebanyak RM600 sebulan untuk setiap pekerja dihadkan kepada 500 pekerja,” katanya. -SM

(Visited 123 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button