fbpx
Nasional

31 menteri kabinet angkat sumpah jawatan di hadapan Agong

KESEMUA 31 menteri kabinet hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati, Putrajaya, hari ini.

Turut berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Majlis pada pukul 3.00 petang itu dimulai dengan irama lagu kebangsaan ’Negaraku’ dimainkan di Balairung Seri, di istana berkenaan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman turut hadir menyaksikan majlis itu di samping Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang.

Kesemua mereka melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia sebelum menandatangani dokumen rasmi pelantikan dengan disaksikan oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.


Kesemua mereka mengangkat sumpah jawatan hari ini susulan pengumuman pembentukan kabinet baharu semalam.

Menteri-menteri itu dibahagikan kepada lima kumpulan dengan kumpulan pertama seramai tujuh orang terdiri daripada empat Menteri Kanan – Ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri (Menteri Pertahanan), Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Fadillah Yusof (Menteri Kerja Raya) dan Menteri Pendidikan Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Tiga lagi dalam kumpulan itu ialah Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Menteri Pengangkutan) dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili (Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Kumpulan kedua pula terdiri daripada tujuh orang iaitu; Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri Alam Sekitar, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan (Menteri Sumber Manusia), Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Rina Mohd Harun (Menteri Wanita dan Keluarga) dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Dr Noraini Ahmad (Menteri Pengajian Tinggi).

Yang lain ialah Ahli Parlimen Alor Gajah Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Tugas-tugas Khas), Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Menteri Pertanian dan Industri Makanan) dan Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Ekonomi).- BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button