MahkamahNasional

30 September keputusan lucut RM37 juta berkaitan PKFZ

MAHKAMAH Persekutuan menetapkan 30 Sept untuk memutuskan rayuan pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonannya untuk melucut hak wang dan aset bernilai lebih RM37 juta milik dua individu dan tujuh syarikat yang menguruskan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Panel tiga anggota diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat menetapkan tarikh itu selepas mahkamah tersebut selesai mendengar hujah pendakwaan dan pembelaan.

Ong berkata mahkamah memerlukan masa untuk membuat keputusan memandangkan terdapat banyak dokumen yang perlu diteliti.

Dua lagi hakim Mahkamah Persekutuan yang turut bersidang ialah Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim.

Pada 23 Nov 2010, pendakwaan telah memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk melucut hak wang dan aset Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing dan Law Ka Hing selain Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), Transshipment Megahub Berhad, Coastal Skyline Sdn Bhd, Wijaya Baru Aviation Sdn Bhd, Wijaya Baru Sdn Bhd, Wijaya Baru Construction Sdn Bhd serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengikut Seksyen 56 (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Pendakwaan telah memfailkan notis usul untuk melucut hak wang dan hartanah terbabit atas alasan ia diperoleh hasil perbuatan salah mengikut Seksyen 4 (1) AMLATFA.

Seksyen 4 (1) of AMLATFA menyatakan bahawa mana-mana orang yang melibatkan diri, secara langsung atau tidak langsung, dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan melakukan kesalahan pengubahan wang haram dan apabila disabitkan boleh dipenjarakan atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Antara aset terbabit ialah wang dalam akaun bank, enam keping cek jurubank dan dua lot tanah.

Pada 4 Nov 2011, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan pendakwaan dan memerintahkan agar wang serta aset terbabit diserahkan kepada responden.

Mahkamah Tinggi memutuskan pendakwaan telah gagal membuktikan bahawa aset terbabit diperoleh hasil perbuatan salah di bawah AMLATFA.

Pendakwaan membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan selepas rayuannya ditolak Mahkamah Rayuan pada 4 Julai 2018.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Faizah Mohd Salleh berhujah bahawa hakim Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam dapatan mereka bahawa tindakan pendakwaan menarik balik pertuduhan pecah amanah jenayah terhadap bekas Pengurus Besar Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang Datin Paduka OC Phang, telah menyebabkan permohonan lucut hak itu tidak dapat dipertahankan.

Faizah berkata mengikut Seksyen 56 (1) AMLATFA, pendakwaan hanya perlu membuktikan bahawa aset terbabit telah diperoleh hasil perbuatan salah mengikut Seksyen 4 (1) atau kesalahan berkaitan pembiayaan keganasan atau hartanah milik pengganas.

Peguam Datuk Prem Ramachandran pula berhujah bahawa perintah lucut hak adalah tidak sesuai diguna pakai dalam kes itu kerana pendakwaan telah gagal membuktikan,antara lain, imbangan kebarangkalian bahawa hasil perbuatan salah telah digunakan responden dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Beliau berkata semua wang dan aset terbabit telah dipulangkan dan tiada yang dibekukan atau disita.

Prem dan peguam Porres Royan mewakili KDSB, Transshipment Megahub, Coastal Skyline, Wijaya Baru Aviation, Wijaya Baru serta Wijaya Baru Construction; Tiong dan Law diwakili Datuk K. Kumaraendran manakala Shamsul Sulaiman mewakili PKNS.

Turut hadir bagi pendakwaan ialah Timbalan Pendakwa Raya Nahra Dollah, Hanim Mohd Rashid dan Allan Suman Pillai. – BERNAMA

(Visited 278 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button