
30 Individu Ditahan Dalam Serbuan Judi Dalam Talian di Jalan Tun Razak
KUALA LUMPUR – Polis berjaya memberkas 30 individu yang disyaki terlibat dalam sindiket perjudian dalam talian dalam satu serbuan Op Dadu di sebuah premis perniagaan di Jalan Tun Razak.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa memaklumkan, sindiket berkenaan dipercayai telah beroperasi sejak dua bulan lalu dengan menyasarkan warganegara China sebagai pelanggan.
“Sindiket ini menjalankan aktiviti promosi perjudian melalui pusat panggilan (calling centre), dan dipercayai didalangi seorang lelaki warganegara China yang masih bebas,” katanya dalam satu kenyataan.
Serbuan bermula pada jam 11.30 pagi melibatkan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Wangsa Maju dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Dalam operasi itu, polis menahan 23 lelaki dan enam wanita tempatan, serta seorang wanita warganegara China, semuanya berumur antara 20 hingga 27 tahun dan dipercayai pekerja sindiket berkenaan.
Turut dirampas dalam serbuan tersebut ialah 30 unit monitor, 60 telefon bimbit, papan kekunci, tetikus, dua unit router, dan satu kad akses yang dipercayai digunakan untuk operasi harian sindiket.
Kesemua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk dokumentasi dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Sumber : Refleks!