JenayahNasional

3 suspek pecah rumah cedera terjun jejambat

TINDAKAN tiga daripada empat suspek pecah rumah melarikan diri dari polis dengan terjun dari jejambat mengundang padah apabila mereka mengalami kecederaan parah dalam kejadian di laluan bertingkat Jalan Tampoi, Johor Bahru awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian pada 4.45 pagi itu, ketiga-tiga suspek yang masing-masing berusia 22 hingga 30 tahun itu patah tangan, bahu dan pinggang.

Sebelum kejadian katanya, sepasukan polis sedang menjalankan rondaan di Jalan Seri Orkid berhadapan Hutan Bandar, Taman Mutiara Rini sebelum terserempak dengan sebuah Perodua Myvi berwarna biru dinaiki empat suspek.

“Anggota bertugas mengarahkan pemandu kenderaan itu supaya berhenti namun tidak diendahkan dan bertindak memecut laju menuju ke arah Jalan Skudai,” katanya dalam kenyataan.

Kereta berkenaan bagaimanapun terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Jalan Tampoi berdekatan sebuah pusat beli belah.


“Semasa proses tangkapan dibuat, tiga suspek bertindak terjun dari ‘flyover’ dan mengalami kecederaan, antaranya patah tangan, bahu dan pinggang,” kata Dzulkhairi.

Semua suspek berjaya ditahan dan semakan mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Polis turut merampas pelbagai peralatan, antaranya sebuah radio, dua pembesar suara, sebuah mesin pemotong serta dua telefon bimbit dipercayai hasil jenayah pecah rumah, tambah Dzulkhairi.

Kes disiasat bawah Seksyen 186 dan 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil. – SM

(Visited 30 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button