KemalanganNasional

3 maut, 4 cedera dalam nahas di Pahang

TIGA maut dan empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM126 Jalan Kuantan-Segamat, Rompin, malam tadi.

Mereka yang maut adalah Abdul Raziz Mohdal, 40, Mohd Khairol Md Tahir, 36, dan Zairulzaimy Jambi, 18.

Ketua Polis Daerah Rompin, Azahari Mukhtar berkata, nahas itu membabitkan sebuah treler, Proton Iswara dan Perodua Axia pada pukul 8.50 malam Khamis.

Katanya, siasatan awal mendapati Proton Iswara dari arah Segamat dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler dari arah Kuantan menghala ke Segamat.

“Kemalangan itu menyebabkan treler hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung Perodua Axia dan terus terjatuh ke bawah cerun di sebelah kanan jalan.

“Akibat kemalangan itu, kelindan treler, Raziz; pemandu Proton Iswara, Khairol dan penumpang belakang Iswara, Zairulzaimy meninggal dunia di tempat kejadian.

“Empat mangsa lain iaitu pemandu treler, dua penumpang Iswara dan pemandu Axia yang cedera dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk mendapatkan rawatan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, 15 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah serta BBP Chini di Pekan bergegas ke tempat kejadian.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa tersepit dalam kenderaan terpaksa dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat.

“Tiga mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – SM

(Visited 215 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button