Uncategorized

Sindiket penipuan tawaran kerja tidak wujud tumpas di Melaka

Satu sindiket penipuan tawaran kerja tidak wujud di luar negara lumpuh apabila 17 ahlinya ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah banglo di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, serbuan tersebut dilakukan kira-kira pukul 12.23 tengah malam oleh sepasukan empat pegawai dan 14 anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka.

Menurutnya, kesemua suspek membabitkan 14 warga tempatan dan tiga warga China dicekup hasil maklumat dan risikan ke atas sindiket berkenaan yang disyaki aktif sejak September lalu.

“Tiga warga China adalah anggota serpihan ahli sindiket penipuan dalam talian yang ditumpaskan Jabatan Imigresen di Langkawi Januari lalu.

“Sewaktu serbuan dilakukan suspek berusia antara 17 hingga 40 tahun sedang menggunakan komputer dan telefon bimbit menjalankan aktiviti pusat panggilan,” ujarnya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Md Nazri Zawawi; Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christoper Patit dan
Ketua JSJK Melaka, Superintendan E Sundra Rajan.

Zainol berkata, seorang suspek berusia 35 tahun merupakan penyelia sindiket itu mengalami patah kaki ketika terjun dari tingkat atas banglo itu ketika cubaan melarikan diri.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut lima daripada suspek memiliki pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan penipuan.

Katanya, polis turut menyita 18 set komputer meja, 60 telefon bimbit, dua kenderaan, kunci dan dua pasport antarabangsa dengan nilai rampasan dianggarkan
lebih RM100,000.

“Kita dapati terdapat skrip dan perbualan digunakan ahli sindiket untuk berbual dengan mangsa melalui aplikasi Telegram serta WhatsApp,” ujarnya.

Jelasnya, modus operandi sindiket tersebut menyasarkan rakyat Britain sebagai mangsa dan menggunakan nombor telefon pra bayar dari negara berkenaan.

Ujarnya, ia bertujuan untuk menghantar pesanan khidmat ringkas secara rambang ke semua nombor telefon rakyat di sana bagi menipu tawaran kerja sambilan tidak wujud.

Katanya, mangsa pula diminta mendaftar melalui pautan yang diberikan dan mengarahkan mereka memberi penarafan yang baik untuk mendapat komisyen sebanyak
AS$0.35 (RM1.64).

“Mangsa yang terpedaya lantas memasukkan sejumlah wang bagi mendapatkan komisyen yang tinggi dan akhirnya mereka ditipu,” katanya.

Zainol berkata siasatan polis juga mendapati semua individu ditahan, dibayar gaji RM4,000 sebulan tidak termasuk komisyen 10 peratus daripada jumlah wang diterima
daripada mangsa mereka.

Beliau berkata, kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 25 November ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana kesalahan menipu dan Seksyen 120B KK kerana kesalahan pakat jahat jenayah.

Sementara itu sepanjang tempoh 1 Januari hingga semalam, JSJK Melaka merekodkan 198 kes penipuan tawaran pekerjaan tidak wujud dan menangkap 131 individu bagi
tempoh membabitkan kerugian berjumlah RM3.97 juta. – SM

 

(Visited 35 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button