Jenayah

3 hari hilang di laut, 2 nelayan ditemui selamat

Bot kehabisan minyak

SELEPAS hampir tiga hari gagal dikesan, dua nelayan yang dilapor hilang apabila bot dinaiki mereka hanyut di tengah laut kerana kehabisan minyak ditemukan selamat, malam tadi.

Lim Ah Che Ong, 51, dan Teong Leng Huat, 52, dijumpai oleh sebuah bot nelayan tempatan lain kira-kira 15.5 batu nautika Barat Daya Kuala Kurau, Taiping, Perak.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri, Kapten Shahrizan Raman berkata, sebuah bot Kilat 30 dari Zon Maritim Kuala Kurau bergegas ke lokasi dengan membawa bekalan minyak sebaik sahaja menerima laporan berkenaan.

“Dua orang nelayan tersebut ditemukan dalam keadaan selamat kira-kira pukul 11.30 malam.

“Mangsa dan bot kemudian diiringi ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau dan mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar bagi pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Shahrizan berkata, pihaknya telah melaksanakan operasi mencari dan menyelamat mangsa dengan mengatur gerak aset Kapal Maritim (KM) Tugau selepas dua nelayan tersebut dilaporkan hilang pada petang Sabtu lalu.

“Kita melakukan pencarian menjangkau sehingga 130 batu nautika persegi dari Pantai Remis dan operasi ini juga turut dibantu beberapa bot nelayan tempatan,” katanya.

Shahrizan turut menasihati nelayan dan komuniti maritim agar memastikan bot sentiasa dalam keadaan baik dan selamat sebelum memulakan sesuatu aktiviti di laut. – SM

(Visited 218 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button