Nasional

298 sekolah di daerah Petaling ditutup esok hingga 25 Oktober

Sebanyak 298 buah sekolah di seluruh daerah Petaling, Selangor ditutup mulai 12 hingga 25 Oktober depan ekoran peningkatan kes Covid-19 di kawasan terbabit.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berkata, penutupan itu juga dilakukan setelah disahkan sebagai zon merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, bilangan sekolah yang ditutup merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM serta sekolah swasta yang berdaftar dengan kementerian itu.

“Sekolah yang mempunyai asrama termasuk Kolej Vokasional juga ditutup dan ibu bapa serta penjaga perlu mengambil murid yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang.

“Bagaimanapun, murid yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan Kolej Vokasional sepanjang tempoh penutupan sekolah akan berada di bawah penjagaan warden asrama,” katanya.

Jelas kenyataan itu, keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah.

Ujarnya lagi, dalam tempoh penutupan sekolah itu, pengetua dan guru besar akan memastikan guru-guru sert murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian.

“Bagi sekolah yang kini sedang melaksanakan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekolah yang terlibat dengan penutupan boleh menjadualkan semula peperiksaan ini ke suatu tarikh yang bersesuaian kelak.

Dalam hal ini, KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM.

Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi www.moe.gov.my. -SM

(Visited 275 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button