Ekonomi

297 peserta Agropolitan terima surat hak milik rumah

SEBANYAK 297 peserta Projek Agropolitan Pekan (PAP) di Tanjung Batu, Batu 8 Mukim Lepar dan Runchang di Pahang menerima suratan hak milik rumah daripada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam majlis yang berlangsung di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di Pekan, Pahang,
hari ini

Hadir di majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Bin Ishak, ADUN Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, ADUN Pulau Manis Datuk Khairuddin  Mahmud, ADUN Chini  Mohd Sharim Md Zin dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Baidzawi Che Mat.

Projek Agropolitan yang dibangunkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pada  tahun 2009, bertujuan untuk membasmi kemiskinan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan FELDA  sebagai Agensi Pelaksana.

Di bawah projekini, golongan miskin tegar telah dikenal pasti sebagai peserta dan ditempatkan semula di rumah-rumah baharu di tapak Agropolitan yang dilengkapi dengan kemudahan awam, di mana mereka diberikan pekerjaan dalam bidang pertanian bagi membolehkan mereka memperoleh pendapatan yang stabil.

Di Pahang, seramai 374 peserta termasuk 62 Orang Asli telah mendapat manfaat daripada projek ini yang mempunyai dua aktiviti ekonomi utama iaitu penternakan biri-biri Dorper di Batu 8 dan Runchang, dan ladang kelapa sawit di Tanjung Batu.

Terdahulu, seramai 77 peserta telah menerima suratan hak milik rumah masing-masing pada tahun 2017 dan 2018.

Tanah untuk rumah tersebut telah disediakan oleh Kerajaan Negeri Pahang dan para peserta hanya perlu membayar bayaran pemprosesan minimum.

“Saya yakin dengan pengalaman dan kemahiran yang telah mereka perolehi dalam bidang pertanian dan keusahawanan sejak 10 tahun lepas daripada ECERDC dan FELDA, para peserta sudah bersedia untuk mara ke peringkat seterusnya.

“Para peserta seharusnya berbangga kerana mereka telah mengusahakan projek ternakan biri-biri Dorper terbesar di Malaysia,” kata Menteri Besar Pahang.

Katanya, matlamat projek ini adalah serampang dua mata; untuk membantu meningkatkan taraf hidup para peserta serta memberikan asas yang kukuh kepada ahli keluarga mereka dan generasi yang akan datang untuk mencapai kejayaan.

“Kehidupan di projek Agropolitan telah menyediakan persekitaran yang kondusif untuk anak-anak peserta  mencapai kejayaan dalam bidang akademik manakala ahli keluarga telah diperkasa untuk mempelajari kemahiran
baharu melalui program-program pembangunan modal insan ECERDC bagi membantu meningkatkan pendapatan isi rumah,” kata Baidzawi.

Bagi memastikan kemampanan jangka panjang projek, pengurusan projek Agropolitan akan diserahkan kepada syarikat induk. Peralihan ini akan membuka lebih banyak peluang pembangunan diri kepada peserta dan  generasi baharu melalui peluang-peluang pekerjaan dan keusahawanan.

“Tumpuan fasa seterusnya adalah untuk terus membina keupayaan peserta dan memastikan mereka mempunyai kemahiran, berdaya tahan dan mampu berdikari.

ECERDC akan terus menawarkan program peningkatan kemahiran dan pemahiran semula untuk melengkapkan
peserta dengan kemahiran yang boleh dipasarkan, bagi memastikan mereka mempunyai pendapatan yang stabil untuk diri sendiri dan dapat menyara keluarga mereka,” tambah Baidzawi.

(Visited 402 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button