Jenayah

29 kes Ehsanuddin ditarik balik berdasarkan dapatan baharu – SPRM

KEPUTUSAN menarik balik 29 pertuduhan rasuah terhadap bekas Ahli Lembaga Pengarah FELDA, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid oleh pihak pendakwaan baru-baru ini adalah berasaskan fakta yang disahkan daripada siasatan lanjut.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) , pihaknya telah merujuk kembali kes berkenaan kepada Pejabat Peguam Negara dan diputuskan perbicaraan tidak diteruskan berdasarkan perkembangan terbaharu siasatan tersebut.

Keputusan penarikan balik kes itu juga dibuat berikutan keterangan saksi utama yang tidak konsisten.

“Perkara tersebut bermula apabila tertuduh mengemukakan representasi dan pernyataan pembelaannya di bawah Seksyen 62 Akta SPRM 2009 semasa perbicaraan telah berlangsung dan susulan itu SPRM telah menjalankan siasatan lanjut berkenaan pembelaan tersebut.

“Berdasarkan dapatan baharu menerusi keterangan baharu yang dikemukakan, tertuduh berjaya membuktikan bahawa beliau telah membayar balik wang yang didakwa sebagai rasuah itu sebelum siasatan dimulakan. Saksi utama turut mengesahkan perkara tersebut sebagai wang pinjaman,” kata SPRM dalam satu kenyataan.

Pihak pendakwaan telah memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung penarikan balik kesemua 29 pertuduhan itu semasa prosiding perbicaraan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 21 Mei 2021.

Perbicaraan kes itu bermula pada Ogos 2019 dan seramai 24 saksi pendakwaan, antaranya pegawai bank dan pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia, telah memberi keterangan.

Noor Ehsanuddin, 58, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 14 pertuduhan menerima rasuah bagi bayaran ansuran kenderaan berjumlah RM23,540.68 daripada sebuah syarikat percetakan, Karya Hidayah Sdn Bhd pada 2014 dan 2015.

Di Mahkamah Johor Bahru, tertuduh didakwa atas 10 pertuduhan termasuk menerima suapan wang tunai bernilai RM50,000 dan sebidang tanah daripada syarikat sama, pada 2013 dan 2014.

Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas lima pertuduhan menerima benda berharga iaitu penyelenggaraan dua buah kenderaan dan yuran guaman bagi pembelian tanah bernilai RM12,707.60.

Kes di Johor Bahru dan Shah Alam dibicarakan bersama dengan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.-SM

(Visited 477 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button