Jenayah

Polis tumpas sindiket penipuan pelaburan antarabangsa

POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket penipuan pelaburan antarabangsa selepas menahan 11 individu termasuk 10 warga China dalam serbuan di sebuah kediaman mewah di Batu Feringghi, tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zainol Samah berkata, sepasukan polis Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang menyerbu kediaman itu pada pukul 12.15 tengah malam hasil risikan dan intipan sejak seminggu lalu.

“Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan bersama enam lelaki serta empat wanita warga China yang kesemuanya berusia antara 25 hingga 53 tahun. Siasatan awal, mereka mengaku bekerja dengan sindiket penipuan pelaburan yang berpusat di Kemboja sejak beberapa bulan lalu,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati sasaran sindiket itu adalah warga China iaitu mereka yang ditahan menjalankan aktiviti penipuan promosi pelaburan untuk pasaran negara tersebut dan setiap seorang dipercayai mampu membawa keuntungan bulanan sehingga RM15,000 dengan jumlah keseluruhan RM150,000.

Menurutnya, wang tersebut kemudiannya diserahkan kepada sindiket di Kemboja melalui transaksi bank dan mereka yang ditahan mengaku berperanan untuk mendapatkan pelanggan daripada China malah komisen diterima berdasarkan jumlah pelanggan berjaya dikumpul.

Zainol berkata semua warga China yang ditahan tinggal di kediaman mewah berkenaan sejak empat bulan lepas dengan kadar sewa RM13,000 sebulan untuk menjalankan kegiatan penipuan pelaburan bagi mengaburi mata pihak berkuasa

“Mereka mengaku beroperasi 24 jam setiap hari dan masing-masing mampu mengaut keuntungan komisen ribuan ringgit setiap bulan berdasarkan jumlah pelanggan yang berjaya dikumpul,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati 10 warga China itu masuk ke negara ini pada Januari lepas sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menggunakan pas lawatan sosial, namun seorang daripada mereka tidak memiliki pasport ketika serbuan dibuat.

Katanya, lelaki tempatan yang ditahan dalam serbuan itu bekerja sebagai pemandu kepada ahli sindiket tersebut dan baru sebulan bekerja dengan bayaran gaji RM3,500 sebulan.

“Dalam serbuan itu polis turut merampas lima modem, empat komputer riba, dua set komputer dan empat telefon bimbit. Siasatan lanjut masih dijalankan kerana mereka enggan mendedahkan keseluruhan kegiatan berkenaan. Polis turut mendapatkan khidmat pakar judi untuk menganalisa barang kes yang dirampas bagi membantu siasatan,” katanya.

Jelasnya, semua mereka kini direman bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 4(1)(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) akta sama serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963. – BERNAMA

(Visited 275 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button