Ekonomi

MDEC latih 30,000 lagi e-usahawan, sasar jualan RM35 juta

PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan melatih 30,000 e-usahawan baharu dengan sasaran jualan sehingga RM35 juta.

MDEC dalam kenyataannya berkata, mereka terdiri daripada kalangan perusahaan usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), para pelajar intitusi pengajian tinggi (IPT) dan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Katanya, pada masa yang sama pihaknya juga akan mewujudkan 100 hab e-usahawan baharu di lokasi-lokasi strategik di seluruh negara.

Kenyataan itu berkata, ini bagi membolehkan usahawan-usahawan tempatan mendapat pendedahan mengenai teknik pemasaran digital yang lebih efisien.

“Program e-usahawan MDEC yang dilaksanakan sejak 2015 telah berjaya melatih seramai 563,543 usahawan di seluruh negara dengan menjana jualan terkumpul yang membanggakan melebihi RM1.24 bilion.

“Program ini tidak terbatas pada latihan langsung dengan lebih 35 IPT dan TVET yang telah mengintegrasikan program ini ke dalam kurikulum mereka.

“Ini memberi sumbangan yang signifikan kepada arah tuju strategik negara seperti Pelan Strategik Hala Tuju e-Dagang Kebangsaan, Rangka Tindakan

Ekonomi Digital Malaysia, dan Industri 4.0,” kata kenyataan itu.

Semalam berlangsung program penutup Festival E-Usahawan dan Gig 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang dirasmikan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

MDEC berkata, bagi program Global Online Workforce (Glow) yang diperkenalkan sejak 2016, MDEC telah membantu seramai 105,390 peserta dari seluruh negara meningkatkan pendapatan mereka sekali gus berjaya menjana pendapatan kolektif sehingga RM282.76 juta.

Katanya, program tersebut membantu mengasah kemahiran dan pengetahuan peserta terutama yang diberhentikan kerja, dipotong gaji serta graduan menganggur sehingga berjaya menjadi pekerja bebas digital.

Menerusi Program High Value Gig Digital Freelance pula, kata beliau, MDEC telah melatih seramai 5,000 pelajar IPT dengan menyediakan kemahiran digital.

Program tersebut memberi peluang kepada golongan sasaran menceburi bidang pekerjaan bernilai tinggi di platform-platform pekerjaan gig serantau.

Katanya, program tersebut dilaksanakan dengan usaha sama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di bawah ‘Career Advancement Programme’ (KPT-CAP).

Mengenai penganjuran Festival E-Usahawan dan Gig, MDEC berkata, ia bertujuan memupuk budaya digital dengan melengkapi komuniti sasaran iaitu individu, graduan dan PMKS dengan kemahiran literasi untuk berkembang maju dalam sektor ekonomi digital.

“Menerusi acara ini, usahawan, syarikat pemula, pekerja gig, dan profesional digital turut berpeluang meningkatkan ilmu bagi mencipta peluang pekerjaan, mempromosi produk dan perkhidmatan malah berupaya mencapai pasaran perniagaan yang lebih luas melalui platform digital,” katanya.

Artikel berkaiatan > Airbnb dan MDEC mengumumkan MoU untuk bekerjasama dalam program DE Rantau

(Visited 254 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button