NegeriPendidikanRencah Hidup

Sukarelawan YES POLIMAS tabur bakti di Maahad Tahfiz Puteri Ayu

SERAMAI 29 pelajar dan 15 pensyarah Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) menyertai Program Sukarelawan Yayasan SukarElawan Siswa (YES)  Politeknik Malaysia di Maahad Tahfiz Puteri Ayu, Yan, Kedah.

Program ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti seperti membersihkan kawasan, membuat pendawaian semula elektrik, mengecat bangunan, membaiki sistem perpaipan dan membina lanskap baharu agar suasana lebih ceria.

Iderus Ahmad menyampaikan cenderahati pada Rosli Idris (kanan) pada majlis penutupan program sukarelawan YES POLIMAS di Maahad Tahfiz Puteri Ayu ,Yan , Kedah.

Bagi melancarkan tugas, para pelajar diagihkan kepada beberapa kumpulan mengikut kepakaran masing-masing.

Tujuan program tersebut diadakan untuk memberi pendedahan kepada pelajar untuk mendekatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan.

Di samping itu, program ini dapat memberi pendedahan kepada pelajar untuk menabur bakti kepada masyarakat setempat dan juga mewujudkan jalinan ukhwah antara pelajar POLIMAS dengan penghuni maahad tahfiz berkenaan.

Pengarah POLIMAS, Rosli Idris ketika berucap pada majlis penutup program tersebut berkata, para pelajar perlu beristiqamah dalam melaksanakan kerja-kerja sukarelawan kerana ia adalah salah satu cara untuk golongan pelajar mempraktikkan apa yang telah dipelajari di bilik kuliah dan bengkel.

Sebahagian sukarelawan YES POLIMAS melakukan kerja pendawaian elektrik.

“Pelajar perlu berbakti kepada masyarakat dengan menggunakan ilmu yang dipelajari dan dimiliki agar diberkati oleh Allah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Maahad Tahfiz Puteri Ayu, Iderus Ahmad dalam ucapannya merakamkan ribuan terima kasih atas jasa baik pihak POLIMAS sanggup mengadakan program seperti itu untuk membantu pihak Maahad.

“Semoga program seperti ini dapat diadakan lagi di masa hadapan,” katanya.

Hadir sama Timbalan Pengarah Akademik, Salmiyah Che Ahmad, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Hamizi Yahya dan Ketua-ketua Jabatan yang lain.

Ketua Sukarelawan YES POLIMAS, Abdul Rahim Che Dollah pula berkata, dengan aktiviti yang diadakan ini, dapatlah mengeratkan hubungan antara POLIMAS dan Maahad Tahfiz Puteri Ayu.

Sebelum ini katanya, peserta yang menjalani program ini telah diberikan taklimat agar masing-masing dapat menyesuaikan diri semasa mengadakan gotong-royong bersama penghuni Maahad Tahfiz.

Sukarelawan YES POLIMAS membuat perpaipan untuk Maahad Tahfiz.

Salah seorang peserta program, Awaludin Sabarudin, 18, berkata ,”Program yang diadakan ini berjaya menambah ilmu dalam kalangan pelajar supaya mereka tidak kekok lagi pada masa akan datang untuk memberi khidmat bakti kepada masyarakat”.

Rakan sebayanya, Norshahifa Abu Bakar berpendapat, banyak perkara baharu dapat dipelajari dan dilakukan apabila menjalani program sukarelawan seperti ini dan ilmu yang diperoleh dapat dijadikan panduan untuk memajukan diri. – SM

BACA Lapan lagi maahad tahfiz laksana TVET – Zahid

(Visited 287 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button