Nasional

238 ditahan bina penempatan sementara dalam hutan

Kanak-kanak dan bayi antara ditahan

POLIS menyerbu dan menahan 238 individu yang didapati membina penempatan sementara di kawasan hutan Ulu Rening, Batang Kali, Hulu Selangor, semalam.

Memetik laporan ASTRO Awani, mereka yang ditahan terdiri daripada kalangan dewasa, kanak-kanak dan bayi daripada kumpulan yang dikenali sebagai Dewan Perkasa Ekonomi Islam Nusantara (DPEIN).

Penahanan mereka disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner, Fadzil Ahmad.

“Seramai 238 individu ditahan polis dalam satu serbuan di hutan Ulu Rening, Batang Kali, Hulu Selangor pada petang Selasa setelah didapati membina petempatan sementara di kawasan itu.

“Jumlah itu merangkumi individu dalam kalangan dewasa, kanak-kanak dan juga bayi daripada kumpulan yang dikenali sebagai Dewan Perkasa Ekonomi Islam Nusantara (DPEIN).

“Hasil pemeriksaan kita dapati kawasan tersebut merupakan hutan yang baharu diteroka dan mereka bina penempatan sementara.

“Mereka memasang khemah dan menjalankan semua aktiviti termasuk mandi, masak dan semuanya di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor malam tadi.

Menurut Fadzil lagi, serbuan dibuat sebaik sahaja menerima maklumat berhubung pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan itu pada pukul 5 petang semalam.

Difahamkan, kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada 76 lelaki, 77 wanita dan kanak-kanak serta bayi (85).

Mereka yang ditahan itu berasal dari pelbagai negeri antaranya Kelantan, Pahang dan Perak.

Tambah Fadzil, buat masa ini polis akan melakukan siasatan lanjut berhubung tujuan mereka membuat penempatan tersebut.

“Kita kumpulkan mereka di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor untuk dokumentasi dan siasatan lanjut.

“Kita juga dah lakukan saringan terhadap mereka yang ditahan dengan kerjasama pihak KKM dan juga JKM,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Peraturan Penyakit-Penyakit Berjangkit 1988. – SM

(Visited 246 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button