CelotehRencah Hidup

Duit aku, suka hati akulah: Keluar Wang Sendiri Payah!

Mak Teh suka sambal lemak udang fucuk

NAMPAKNYA polemik pasal duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) belum reda-reda lagi. Walaupun tiap-tiap hari hujan ia tidak dapat menyejukkan hati sebilangan besar rakyat Malaysia yang berharap dapat mengeluarkan caruman mereka sebanyak RM10,000 seperti yang diutarakan oleh bekas Perdana Menteri. Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mana tidaknya, yang diminta RM10,000 tapi kerajaan nak beri RM60,000 dengan syarat-syarat yang dianggap menyulitkan rakyat sebabnya hanya golongan tertentu sahaja yang layak mengeluarkan duit tersebut. Mereka harapkan duit untuk teruskan kelangsungan hidup tapi cuma tinggal impian jika syarat itu tidak dilonggarkan.

Betullah bukan mudah untuk kerajaan menunaikan setiap permintaan rakyat namun jika dilihat dari segi keperluan mendesak segelintir rakyat yang terkesan teruk akibat Covid-19 adalah wajar untuk kerajaan memberi peluang untuk rakyat ‘bernafas’ dengan duit mereka.

Semua orang tahu, waima kanak-kanak pun tahu ekonomi dunia sedang merudum hingga menyebabkan banyak syarikat terpaksa gulung tikar dan sejumlah besar terpaksa mengecilkan operasi mereka. Ia sekaligus memberi kesan buruk kepada para pekerja. Banyak sektor terjejas dan ramai hilang kerja.

Mak Teh percaya ada yang dah berkira-kira nak gunakan duit tu untuk mulakan perniagaan kecil-kecilan, ada yang nak bayar hutang, ada yang nak beli barang keperluan dan bermacam-macam lagi yang nak dibuat dengan duit tersebut.

Walaupun hanya mampu bertahan untuk seketika tetapi sekurang-kurangnya bolehlah mereka nak gali lubang ke tutup lubang ke atau merancang kewangan keluarga pada waktu-waktu sukar ini.

Ada yang awal-awal lagi dah ‘warning’ jangan sesekali gunakan duit KWSP tu untuk buat berniaga tapi ramai yang bantah, bagi mereka dengan mulakan perniagaan kecil-kecilan mana tahu ia boleh bertukar jadi sumber pendapatan. Dengan modal yang kecil sudah tentu perniagaan yang diusahakan juga adalah kecil-kecilan juga.

Saban hari juga Mak Teh baca luahan hati netizen di media sosial Facebook yang menyuarakan rasa tidak puashati kepada kerajaan dan ada di antaranya memang menyentuh hati. Mereka yang melalui, mereka yang merasai susah. Ada yang terpaksa korbankan satu-satunya motosikal yang ada untuk bebaskan diri dari hutang, tak kurang juga terpaksa merelakan kereta ditarik.

Ada netizen yang cakap “duit aku suka akulah, aku yang punya, kenapa susah sangat kerajaan nak bagi”. “Takkan nak tunggu dah mati baru dapat duit sendiri “.

Tu dia… bila dah marah mesti akan terkeluar kata-kata sebegitu. Pada siapa lagi nak mengadu kalau tidak di media sosial. Hanya di situ sajalah tempat paling senang nak luahkan perasaan. Dulu bolehlah tulis dalam diari sekarang tak payah diari dah, cakap ‘open’ je.

Mak Teh harap perbahasan dalam Dewan Rakyat oleh wakil-wakil rakyat dalam menyuarakan isu berhubung pengeluaran caruman KWSP bakal membuahkan hasil yang terbaik bagi rakyat.

Mak Teh percaya kerajaan sentiasa mendengar luahan dan keluh kesah rakyat yang ‘struggle’ nak teruskan hidup. Semoga keputusannya nanti mengambil kira kesejahteraan kepada rakyat.

Oklah… perkongsian resipi kali ini ialah sambal lemak udang bersama fucuk atau perut tauhu.

Bahan-bahannya

500gm udang
Santan dari sebiji kelapa
11 ulas bawang merah
1 biji bawang besar
2 senduk cili kisar
Minyak masak
Fucuk atau perut tauhu
Garam
Gula
Sedikit air asam jawa

Cara-caranya

Didihkan santan sehingga pecah minyak atas api kecil.

Tumis bawang yang ditumbuk lumat sehingga pecah minyak. Masukkan cili kisar dan tumis sehingga pecah pecah minyak sekali lagi. Masukkan garam, gula, air asam jawa dan kacau sehingga sebati. Masukkan pula santan yang sudah pecah minyak tadi.

Apabila sudah agak pekat masukkan udang dan perut tauhu. Biarkan seketika sehingga udang masak. Sedia untuk dihidangkan. – SM

(Visited 884 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button