Parlimen

MP pakai PPE di Dewan Rakyat: Hak ahli Parlimen untuk mengundi – Azhar

TIADA pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kebenaran terhadap ahli Parlimen yang dikenakan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) hadir ke Dewan Rakyat memakai peralatan perlindungan diri (PPE) untuk melakukan pengundian belah bahagi.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menegaskan, beliau mengikut SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

“Sebenarnya saya tidak ubah SOP. Saya cuma ikut SOP yang ditetapkan oleh KKM dan Dr. Noor Hisham. Sebelum ini kita beri sedikit kekangan kehadiran kepada ahli Parlimen, ada yang mengatakan kita tidak beri peluang kepada ahli-ahli Parlimen untuk datang berdebat.

“Tapi saya rasa untuk undian itu kita buat banyak kelonggaran. Kita benarkan semua masuk ke dalam dewan. Ketiga-tiga (ahli Parlimen) itu bukan keputusan saya, mereka perlu meminta kebenaran Dr. Noor Hisham dan kalau dibenarkan mereka perlu mengikut SOP yang ditetapkan oleh KKM. Bukan oleh saya,” kata Azhar.

Beliau menjawab isu yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Kuching (DAP) Dr Kelvin Yii Lee Wuen mengenai notis yang diterima ahli Parlimen berkaitan kebenaran tersebut.

“Kita tahu banyak SOP yang kita lakukan, hadkan masa berbahas kerana ini kawasan berisiko tinggi. Tetapi kenapa ahli Parlimen yang terdedah positif Covid-19 dibenarkan datang, SOP diubah suai untuk membolehkan mereka datang ke sini.

“Saya tahu kalau tidak yakin untuk menang undi belanjawan datang bincang dengan pihak kami. Terima nasihat dan input kami. Jangan ubah suai dan mereka SOP yang bukan-bukan seperti ini,” kata Kelvin.

Sementara itu Azhar memberitahu terdapat tiga ahli Parlimen yang dikenakan HSO meminta kebenaran untuk hadir mengundi bagi peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 hari ini.

Jelas Azhar mereka akan dibawa oleh ambulance ke Parlimen dan dipakaikan PPE. Sebuah bilik khas juga disediakan untuk mereka menunggu sekiranya berlaku undi belah bahagi.

“Kalau mereka ingin mengundi mereka perlu memakai PPE yang baru dan mereka akan masuk melalui gelari awam masuk ikut pintu di situ.

“Dan undi akan diambil daripada mereka dan penghitung dan pemerhati perlu memakai pelindung muka. Dan selepas mengundi mereka meninggalkan galeri awam. Kita mahu hadkan pergerakan dengan semua orang,” jelas Azhar.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang yang tidak berpuas-hati dengan penjelasan Azizan menyindir keputusan yang dibuat.

“Boleh saya cadang kita semua ahli Parlimen dan Speaker sendiri memakai PPE hari ini. Itu lebih selamat saya ingat. Kementerian Kesihatan teliti sangat. Patut semua pakai.” kata Ahli Parlimen Pokok Sena (Amanah) Datuk Mahfuz Omar.

“Saya rasa ini akan jadi satu ketawa kepada rakyat di bawah sana. Nak undi punya pasal mereka datang. Apa ini?. Orang meninggal pun tak boleh pergi menziarahi” kata Ahli Parlimen Padang (PKR) Serai M Karupaiya.

Mendengar rungutan tersebut, Azhar meminta ahli Parlimen terbabit tidak mempolitikkan isu tersebut.

Menurut beliau, ahli Parlimen terbabit mempunyai hak untuk melakukan pengundian di Dewan Rakyat.

“YB ini hak undikan. So kita pun tahu ramai nak datang mengundi jadi kita regulatekan lah. Tak payah dipolitikkan perkara kesihatan,” tegas Azhar.-SM

(Visited 535 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button