Sukan

Perlawanan Everton, City dibatalkan ekoran pemain positif coronavirus

AKSI Liga Perdana Inggeris antara Everton dan Manchester City yang sepatutnya berlangsung awal pagi tadi (waktu Malaysia) terpaksa dibatalkan selepas beberapa pemain City disahkan positif Covid-19.

Pemain pertahanan, Kyle Walker dan penyerang, Gabriel Jesus diuji positif sebelum perlawanan terakhir City menentang Newcastle, bersama-sama beberapa kakitangan dibalik tabir pasukan itu, tetapi telah disahkan lebih ramai pemain kini dijangkiti virus berkenaan.

“Selepas ujian Covid-19 yang terbaru, terdapat beberapa lagi kes positif, setelah empat disahkan dijangkiti virus itu sewaktu sambutan Krismas.

“Dengan kelonggaran gelembung keselamatan, maka risiko untuk virus itu tersebar meluas dalam kalangan ahli skuad, staf dan lebih besar daripada itu lebih mudah terjadi,” kata City dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Liga Perdana Inggeris mengesahkan bahawa City telah membuat permohonan untuk menangguhkan perlawanan tersebut di atas sebab perubatan.

“Lembaga bersetuju untuk menyusun kembali perlawanan sebagai langkah berjaga-jaga, dan pemeriksaan lanjut akan dilaksanakan, esok (hari ini waktu Malaysia).

“Keputusan diambil kerana kesihatan para pemain dan staf perlu diberi keutamaan. Liga Perdana akan terus meletakkan kepercayaan kepada protokol dan peraturan, serta cara kelab melaksanakannya.

“Liga juga mendoakan agar mereka yang dijangkiti Covid-19 berada dalam keadaan selamat serta segera sembuh dan akan menyusun semula perlawanan menentang Everton yang ditangguhkan pada tarikh yang yang sesuai,” kata kenyataan yang dikeluarkan Liga Perdana.

Everton turut mengesahkan penangguhan tersebut, tetapi berkata, perancangan untuk perlawanan menentang West Ham pada sambutan Tahun Baru di laman sendiri masih dikekalkan tanpa sebarang perubahan.

Bercakap selepas pertemuan dengan Newcastle, bos City, Pep Guardiola mengesahkan bahawa Walker dan Jesus dalam proses pemulihan.

“Perkara terakhir yang saya fikirkan ialah bermain tanpa Gabriel dan Kyle. Apa yang kami mahukan adalah kesihatan Gabriel serta Kyle tidak menjadi bertambah buruk dan tidak menunjukkan sebarang gejala dan mampu mengharungi lapan hingga 10 hari tanpa simptom yang kuat.

“Covid berada di sini. Ia bukan sekadar berada di Manchester City, virus itu menyerang di seluruh dunia, jadi, sebab itu kami perlu lebih berhati-hati dan apa yang kami mahukan ialah pada hari berikutnya mereka tidak memiliki simptom dan pulih.

“Kami akan menunggu untuk bertemu mereka lagi dan tanpa mereka kami akan tetap bergerak maju ke depan. Pasukan akan disertai pemain yang mahu bersama kami, yang bersedia memberikan komitmen dan berjuang bersama-sama amat dialu-alukan.

“Pemain yang memikirkan apa yang terbaik untuk pasukan dan berasakan perlu menyumbang sesuatu, mereka ini akan terus bersama pasukan untuk selama-lamanya. Pemain yang keberatan untuk berbuat demikian, itu masalah mereka,” kata Guardiola selepas perlawanan. – Mirror – SM

(Visited 124 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button