Jenayah

SPRM siasat kegiatan rasuah di KLIA

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan budaya rasuah membabitkan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, memberi jaminan dakwaan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, itu akan disiasat dengan sewajarnya.

“SPRM akan mendapatkan maklumat daripada semua pihak dan menyiasat perkara itu sewajarnya.

“Oleh itu, kami menggesa orang ramai agar tidak mensensasikan atau membuat spekulasi mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Pada Jumaat, King Sing mengakui beliau merupakan individu yang dilaporkan terbabit dalam kekecohan di  ruang ketibaan antarabangsa KLIA.

Bagaimanapun, King Sing menafikan tuduhan bahawa kekecohan itu timbul kerana beliau menuntut Jabatan Imigresen membebaskan pelawat dari China.

“Saya bersyukur, kerana kehadiran saya di KLIA telah membongkar satu peristiwa yang memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara,” dakwanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, King Sing turut menggesa SPRM melakukan operasi besar-besaran di KLIA bagi meneliti realiti sebenar di pintu masuk utama negara.

“Saya turut diberitahu bahawa ada pegawai imigresen yang meminta wang diberikan sekiranya pelancong asing yang ditahan mahu dilepaskan.

“Ada yang minta sehingga RM3,000 untuk dikeluarkan dari tahanan termasuk tiket penerbangan pulang ke negara asal.

“Tambahan RM3,000 pula diminta jika mahu pulang ke negara asal dengan kadar segera menerusi ‘laluan khas’, manakala RM12,000 untuk kos memproses visa.

“Semua maklumat ini akan diserahkan kepada SPRM supaya siasatan dapat dijalankan seterusnya dapat memulihkan imej Malaysia terutamanya di pintu masuk negara,” dakwanya

(Visited 128 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button