Nasional

2,188 kes baharu; Selangor catat 1,623 kes Covid-19

JUMLAH kes harian baharu Covid-19 mencatatkan rekod apabila 2,188 kes baharu dikesan menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 14,353 kes.

Kesemua kes baharu melibatkan jangkitan tempatan dengan Selangor masih lagi mencatatkan pelaporan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,623 kes atau 74.2 peratus daripada keseluruhan kes baharu.

“Sebahagian besar daripada kes yang dilaporkan di negeri Selangor adalah daripada Kluster Teratai dengan pertambahan sebanyak 1,511 kes (93.1 peratus).

“Seperti yang telah dimaklumkan, pasukan perubatan dan kesihatan awam bantuan telah digerakkan ke kawasan yang terlibat bagi membantu segala aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk saringan secara besar-besaran,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Sabah mencatatkan bilangan kes kedua terbanyak iaitu 232 kes (10.6 peratus) dan negeri Perak sebanyak 112 kes (5.1 peratus).

Sebanyak 107 kes yang dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di penjara iaitu Kluster Tembok (103 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (2 kes), Kluster Penjara Kepayan (1 kes) dan Kluster Penjara Sandakan (1 kes).

Menurut Dr. Noor Hisham peningkatan kes mendadak di negeri-negeri Lembah Klang secara amnya dan di negeri Selangor secara khususnya adalah berkait rapat dengan kluster-kluster di tempat kerja. Sehingga kini, terdapat 119 kluster yang dilaporkan adalah berkaitan tempat kerja.

Sehingga kini, terdapat 112 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 49 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Bilangan kes sembuh Covid-19 adalah sebanyak 1,673 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah 44,153 kes,” kata Dr. Noor Hisham.

Sementara itu terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19 pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 sebanyak 341 kes.

Satu kes kematian berlaku di Perak dan tiga lagi di Sabah melibatkan dua lelaki dan dua wanita berusia 41 hingga 84 tahun.-SM

(Visited 163 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button