Nasional

217 individu ditahan ingkar arahan PKP – Ismail Sabri

PASUKAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 217 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Daripada jumlah itu, seramai 210 individu telah dikompaun manakala 7 individu pula direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (99), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (60), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (31), aktiviti pusat hiburan (17) dan lain-lain (10),” kata Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, semalam, PDRM telah membuat  51,908 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sebanyak 2,991 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 13,725 anggota telah membuat pemantauan di 4,040 pasar raya, 5,213 restoran serta 1,638 penjaja, 1,374 kilang, 3,586 bank dan 2,206 pejabat kerajaan, katanya.

“Juga dipantau, 985 terminal pengangkutan darat, 219 terminal pengangkutan air serta 82 terminal pengangkutan udara,” ujar beliau.


Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng yang melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19 dilakukan.

“Semalam 9 Disember, Operasi Benteng telah berjaya menahan 67 PATI, dua tekong serta merampas empat kenderaan darat dan lapan bot.

“Sebanyak 121 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan semalam yang melibatkan pecahan seperti berikut:
a. Op PENAWAR (ATM, PDRM dan RELA) – 51 SJR.
b. Op BENTENG PDRM – 61 SJR.
c. Op BENTENG AKSEM – 9 SJR.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus.”

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac 2020 telah melakukan 12,480 operasi sanitasi merangkumi 137 zon.

“Sebanyak 14,421 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,897 pusat perniagaan, 1,679 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,859 tempat awam, 357 pasar raya dan 6,629 bangunan kerajaan,” katanya.

Semalam, sebanyak 45 operasi sanitasi meliputi 11 Zon Merah, 2 Zon Jingga, 9 Zon Kuning dan 5 Zon Hijau yang melibatkan 11 buah negeri iaitu Melaka (14 operasi), kata Ismail Sabri.

“Sabah (9 operasi), Sarawak (5 operasi), Selangor (5 operasi), Negeri Sembilan (4 operasi), Pahang (2 operasi), Pulau Pinang (2 operasi), Perak (1 operasi), Terengganu (1 operasi), Kedah (1 operasi) dan Perlis (1 operasi),” katanya. – SM

(Visited 64 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button