Nasional

211 anggota polis ditahan positif dadah

SEBANYAK 211 anggota polis ditahan selepas didapati positif dadah menerusi ujian saringan awal dalam ‘’Op Blue Devil’ yang dijalankan di seluruh negara, sejak operasi itu dilancarkan pada Ogos lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata pelaksanaan Op Blue Devil dilihat memberi kesan positif kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah untuk melakukan perubahan dalam diri mereka.

“Operasi ini bukanlah untuk menghukum …sekarang saya lihat anggota mempunyai keinginan melakukan perubahan dan memperbetulkan diri (daripada najis dadah),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan Seminar Memperkasakan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Peringkat Semenanjung Malaysia di Maktab PDRM Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas mengenai Op Damn Tokan pula, Mohd Khalil berkata sehingga kini 456 individu ditahan kerana menjalankan kegiatan pengedaran dadah secara kecil-kecilan di seluruh negara, sejak operasi itu dilancarkan pada September.

“Kebanyakan tokan ini ditahan di Sarawak, Selangor, Johor dan Kelantan …matlamat sekarang adalah menghapuskan tokan dadah,” katanya.

Mohd Khalil juga berkata tindakan tatatertib akan diambil terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat memiliki atau menggunakan ketum.

“Tindakan akan dikenakan selaras arahan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mahukan pasukan PDRM bersih,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 14 anggota polis ditahan disyaki memiliki air ketum menerusi Op Blue Devil di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Shah Alam, Selangor pada 1 Nov lepas. – BERNAMA

(Visited 80 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button