Nasional

21 laporan ugutan sebar gambar dan video lucah diterima sejak awal tahun

SEBANYAK 21 laporan diterima berhubung kes ugutan untuk menyebarkan gambar dan video lucah menerusi media sosial di daerah Petaling Jaya sejak Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sebahagian besar kes membabitkan sindiket yang beroperasi menggunakan media sosial selain suspek yang dikenali iaitu bekas suami atau teman lelaki.

“Modus operandi jenayah ini adalah memperdaya mangsa (lelaki atau wanita) di laman sosial seperti WhatsApp, Wechat, Facebook, Michat dan lain-lain.

“Penjenayah ini akan merekod video serta gambar lucah mangsa agar mereka boleh memeras ugut mangsa untuk menyebarkannya.

“Suspek kemudian akan meminta wang daripada mangsa, sekiranya mangsa gagal menyerahkannya, gambar atau video lucah mangsa itu akan disebarkan di media sosial, ahli keluarga mahu pun rakan,” katanya dalam kenyataan satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Fakhrudin, pihaknya juga telah mengenal pasti 12 mangsa yang terlibat membuat pembayaran kepada suspek berjumlah RM33,788.88.

Justeru, polis mengingatkan masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan tipu muslihat sedemikian.

“Masyarakat perlu lebih bijak menggunakan media sosial dan ingatlah bahawa aksi langsung di media sosial mudah dirakam oleh pihak kedua. Jangan mudah percaya dengan orang yang baru dikenali di media sosial,” katanya. -SM

(Visited 321 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button