BeritaNasionalNegeriPendidikan

204 Inspektor Kor SUKSIS UA Zon Utara tamat latihan

SEBANYAK 204 Inspektor Kor Sukarelawan Siswa/Siswi Polis (SUKSIS) Universiti Awam (UA) Tahun 2022 Zon Utara menerima sijil pelantikan di Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra, Arau, Perlis.

Ia melibatkan 56 daripada UniMAP, 81 daripada dua skuad Universiti Utara Malaysia (UUM) dan 67 daripada Universiti Sains Malaysia (USM).

Masing-masing menerima sijil pelantikan daripada Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Aidi Ismail.

Dalam ucapan perasmian, Aidi menyeru pegawai Kor SUKSIS yang dilantik menjauhkan diri daripada segala bentuk gejala sosial, serta pelanggaran undang-undang negara.

“Sebagai pegawai Kor SUKSIS, seharusnya menjadi contoh kepada pelajar-pelajar lain dengan sentiasa menjaga disiplin diri ke arah membentuk generasi graduan yang berjaya dan cemerlang dalam segenap aspek kehidupan,” katanya.

Beliau berharap mereka juga dapat mengamalkan disiplin yang tinggi, berintegriti, mempunyai kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada Raja dan negara, mematuhi undang-undang dan sentiasa berbakti serta melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat dan negara.

Turut hadir Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr Zaliman Sauli, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, Ketua Penolong Pengarah JPJKK, Senior Asisten Komisioner, Azhan Abdul Halim, dan Komandan-komandan Kor SUKSIS UA Zon Utara.

Tambah Aidi, beliau juga berharap agar semua Pegawai-Pegawai Kor SUKSIS dapat menjadikan kerjaya kepolisan sebagai kerjaya pilihan utama.

“Pengalaman menjalani latihan selama tiga tahun bersama Kor SUKSIS akan menjadi satu kelebihan dalam proses saringan dan temu duga yang dijalankan,” ujarnya.

Pada majlis sama diadakan penyampaian Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan kepada Abdul Khalim Al Azizi Syahril dari UniMAP, Noranisah Mohd Zainuddin dari Skuad 2017 UUM, Muhamad Faris Mohd Yunus dari Skuad 2018 UUM dan Muhammad Faizul Mohd Noor dari USM.

Turut dianugerahkan Anugerah Latihan Luar Terbaik kepada Muhammad Afnan Arzahari (UniMAP), Nur Affifah Nabilla Mohamad Salahuddin (UUM skuad 2017), Siti Nurfatihah Mohd Zaini (UUM Skuad 2018) dan Muhammad Faiz Syarizan (USM).

Selain Anugerah Akademik Terbaik kepada Hanis Rosli  dari UniMAP, Syafiq Muhamad Azhar dari Skuad  2017 UUM, Mohamad Farid Mohd Zaini dari Skuad 2018 UUM manakala dan Mas Diyatul Fitri Che Ros dari USM.

Abdul Khalim Al Azizi yang juga Wira TVET Negara dan mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sidang Akademik 2021/2022 UniMAP berkata, beliau memang berhasrat untuk mencapai cita-cita sebagai polis sejak kecil lagi.

“Walaupun tiada ahli keluarga terdiri daripada polis namun saya berhasrat menjadi polis kerana begitu meminati kerjaya berkenaan yang perlu lebih berdisiplin dan saya dapat berkhidmat kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Sementara itu, Mas Diyatul Fitri Che Ros dari USM menarik perhatian ramai kerana menerima Sijil Pelantikan dengan tangan berbalut akibat patah pergelangan tangan.

Katanya yang berasal dari Kulim Kedah, pada awalnya beliau agak kecewa kerana bimbang tidak dapat ditauliahkan akibat kecederaan berkenaan selepas tiga tahun bertungkus lumus menyertai Latihan Kor Suksis.

“Alhamdulillah jurulatih Kor Suksis USM iaitu Nasrullah, Mohd NorHanis, Shahril dan jurulatih yang lain serta rakan-rakan banyak membantu sehingga saya dapat juga menerima Sijil Tamat Latihan selain dinobatkan antara penerima anugerah pelatih terbaik akademik,” katanya yang mengalami kecederaan itu ketika hari pertama latihan di UniMAP kerana jatuh ketika berkawad. – SM

(Visited 331 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button