Nasional

Agong hadir majlis santap sempena mesyuarat Majlis Raja Raja

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah malam ini berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam sempena Memuliakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-257 di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Keberangkatan tiba Seri Paduka diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut berangkat Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra turut berangkat ke majlis santapan itu.

Majlis turut menyaksikan kehadiran Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin, menteri-menteri Kabinet dan menteri-menteri besar turut menyertai majlis itu.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini dipengerusikan Sultan Sallehuddin dengan dihadiri semua Raja-Raja Melayu kecuali Kelantan, Pahang dan Perlis.

Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra manakala Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Perlis diwakili Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Mesyuarat itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Kali terakhir mesyuarat itu diadakan ialah pada 19 dan 20 Februari 2020 yang dipengerusikan oleh Sultan Nazrin Shah. – BERNAMA

Foto Istana Negara

 

 

 

(Visited 484 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button