Politik

Hamzah cadang gagasan besar PN, BN, GPS hadapi PRU-15

SATU gagasan besar antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu diwujudkan secara rasmi bagi melambangkan kesatuan semua tiga gabungan parti besar dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin yang melontarkan cadangan itu berkata, persefahaman politik antara ketiga-tiga parti itu harus dikekalkan agar Kerajaan PN  dapat terus memerintah sebagai Kerajaan.

Gagasan besar itu juga boleh menjadi strategi untuk Kerajaan PN dapat mengambil alih kerajaan negeri yang masih lagi diperintah oleh parti pembangkang.

“Gagasan itu bakal menjulang wawasan dan aspirasi yang diperjuangkan oleh parti-parti politik yang bergabung di bawahnya.

“Oleh itu, satu piagam persefahaman politik antara tiga gabungan parti besar ini harus segera direalisasikan,” kata Hamzah.

Menurut beliau, dengan termeterainya piagam tersebut rakyat akan lebih yakin bahawa Kerajaan PN mempunyai kestabilan politik yang kukuh.

Piagam itu juga mampu memastikan Kerajaan PN berupaya untuk terus mentadbir negara melalui dasar-dasar bagi memajukan ekonomi, membangunkan negara dan membela rakyat di masa hadapan.

“Sebagai sebuah gagasan yang inklusif, semua pemimpin parti yang bergabung di dalamnya harus diberikan ruang dan peluang yang sama untuk menyuarakan pendapat serta pandangan masing-masing.

“Dengan mengambil kira kehendak semua parti tidak kira besar atau kecil, tidak kira mewakili mana-mana bangsa, kaum dan agama, gagasan ini nanti mampu melahirkan satu manifesto yang benar-benar memenuhi keperluan seluruh lapisan rakyat Malaysia,” kata Hamzah.

Sementara itu Hamzah berkata, Perikatan Nasional lahir ketika negara menghadapi krisis politik dan perkauman yang semakin parah.

Keperluan untuk membentuk sebuah kerajaan baharu tercetus akibat dari ketidak-puasan hati rakyat atas beberapa dasar dan tindakan kerajaan Pakatan Harapan.

Justeru katanya, tidak timbul soal ahli-ahli Parlimen yang kaluar dari PH untuk menyertai PN sebagai pengkhianat.

“Oleh itu, tidak timbul persoalan sama ada mereka adalah pengkhianat ataupun duri dalam daging kepada mana-mana parti yang pernah mereka wakili kerana apa yang lebih penting adalah matlamat untuk menumbangkan PH dan menubuhkan kerajaan baharu tercapai,” katanya.-SM

 

(Visited 321 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button