Nasional

20 set bubu naga bernilai RM2,400 dirampas

MACAM-MACAM taktik diguna oleh individu dan kumpulan tidak bertanggungjawab yang bertujuan mengelirukan pihak berkuasa supaya tidak dapat mengesan penggunaan bubu naga yang diharamkan kerajaan sejak 2018.

Tektik apapun yang digunakan ia masih gagal kerana Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak pernah berhenti untuk menyekat perbuatan yang merosakkan eko sistem hidupan laut ini dari terus berleluasa.

Terbaru Zon Maritim Kuala Perlis mengesan lagi penggunaan bubu naga kambang atau bubu naga (China Prawn Net Trap) di kedudukan kira-kira 0.29 batu nautika daripada barat pantai Kuala Perlis, Perlis sekitar pukul 1.00 tengah hari, semalam.

Berikutan itu sebanyak 20 set bubu naga sepanjang 10 meter yang bernilai RM2,400 telah dirampas.


Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, bubu berukuran lebih kurang 10 meter panjang ini telah dikesan semasa rondaan Op Aman.

“Terdapat kain biru gelap yang mencurigakan terapung di permukaan air di mana ia diikat pada pancang-pancang kayu yang disyaki sebagai penanda bubu naga,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pasukan berkenaan mendapati, pancang kayu tersebut adalah penanda lokasi bubu naga yang dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

“Pasukan Op Aman yang kemudiannya memperluaskan lagi radius pemeriksaan dan telah menjumpai lebih banyak lagi bubu naga ditinggalkan di kawasan tersebut,” katanya.

Katanya, setelah diperiksa memang setiap pancang kayu tersebut adalah bubu naga.

Mohd Hashim berkata, bubu naga yang dirampas itu telah dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Katanya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

“Jika seseorang individu tersebut ditahan, beliau boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan,” katanya. – SM

(Visited 77 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button