Nasional

Perlis benar rapatkan saf solat berjemaah dengan bersyarat mulai 8 Januari

PERLIS membenarkan saf dirapatkan semasa solat jemaah di masjid-masjid seluruh negeri Perlis bermula 8 Januari ini tetapi perlu mengikut beberapa syarat amalan merapatkan saf berjemaah.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah kebenaran bersyarat amalan merapatkan saf itu sudah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail setelah meneliti perkembangan semasa Covid-19 selain peratusan tinggi vaksinasi lengkap dan peningkatan dos penggalak yang mencapai kadar 16.9% (30,575 penerima) berdasarkan maklumat terkini pada 2 Januari 2022, adalah didapati keadaan penularan wabak di Negeri Perlis berada dalam keadaan terkawal.

Sukacita dihebahkan berkaitan kebenaran bersyarat amalan merapatkan saf solat berjemaah di masjid-masjid seluruh Negeri Perlis yang berkuatkuasa pada 8 Januari sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan seperti ketetapan berikut:

A- AMALAN MERAPATKAN SAF

1- Jemaah yang hadir diwajibkan merapatkan saf ketika menunaikan solat dengan kadar jarak sejadah masing-masing berdasarkan syarat berikut:
i. Saiz sejadah adalah standard; dan
ii. Tidak berlaku sentuhan fizikal.

2- Walaubagaimanapun, jemaah yang tinggal serumah adalah diwajibkan merapatkan saf tanpa terikat dengan syarat-syarat seperti di atas.

B- PENGEKALAN PROSEDUR OPERASI STANDARD (SOP) SEDIA ADA

3- Pada setiap masa, selain waktu menunaikan solat sama ada ketika selesai solat, ketika mendengar kuliah dan sepanjang tempoh berada di masjid, semua SOP keselamatan dan kesihatan hendaklah kekal dipatuhi. SOP berkenaan adalah seperti berikut:
i. Kekal melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter.
ii. Memakai pelitup separuh muka (Digalakkan jenis N95 atau K95 serta memakai dua pelitup muka ‘double face masks’ serta ditambah baik dengan pemakaian bersama pelindung muka ‘face shield’;
iii. Membawa sejadah sendiri bersaiz standard;
iv. Mengambil wuduk sebelum ke masjid;
v. Mengimbas suhu badan dan melaksanakan rekod penjejakan sosial (mengimbas Kod QR Aplikasi MySejahtera atau mendaftar pada buku yang disediakan). Pematuhan terhadap SOP ini adalah diperketatkan; dan
vi. Tidak dibenarkan sebarang kontak sentuhan fizikal seperti bersalaman.

4- Jemaah yang menerima suntikan vaksin lengkap (sama ada dewasa, kanak-kanak atau warga emas) dibenarkan hadir ke masjid.

5- Walaupun melengkapi semua syarat di atas, pegawai bertugas dan jemaah masjid kekal dilarang untuk hadir ke masjid sekiranya terdiri daripada golongan seperti berikut:
i. Golongan yang berstatus PUI (Person Under Investigation), PUS (Person Under Surveillance) dan mereka yang memiliki risiko untuk dijangkiti;
ii. Golongan yang mempunyai gejala seperti demam, sesak pernafasan, sakit tekak, selesema dan sebagainya.

6- Selain itu, semua aktiviti pengimarahan seperti kuliah, ceramah termasuk jamuan adalah dibenarkan dengan pematuhan SOP Kesihatan dan Keselamatan yang berkuatkuasa.

C- MASJID TERLIBAT

7- Semua masjid di seluruh Negeri Perlis adalah tertakluk kepada arahan SOP ini manakala surau atau tempat solat umum/awam kekal tidak dibuka. Larangan ini termasuk kepada agensi, institusi, parti, maahad tahfiz dan sebagainya melainkan dengan kebenaran khas daripada Yang Dipertua MAIPs melalui JAIPs.

Pada masa yang sama, baginda berharap agar seluruh rakyat Perlis sentiasa mematuhi segala SOP dan ketetapan ini agar nikmat kesihatan dan keselamatan yang dikurniakan oleh Allah SWT dapat disyukuri dengan kesungguhan mengimarahkan masjid selain meneruskan ikhtiar pencegahan penularan wabak Covid-19 dalam suasana norma dan kelaziman baharu. – SM

(Visited 361 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button