Nasional

2 premis jual minyak masak dalam talian diserbu KPDNHEP

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpaskan aktiviti penjualan minyak masak secara dalam talian melalui platform e-dagang terkenal dalam negara di dua (2) premis berasingan masing-masing di Petaling Jaya dan Puchong, Selangor pada 1 Julai, baru-baru ini.

Serbuan pada pukul 12.00 tengah oleh tujuh anggota penguat kuasa KPDNHEP Selangor adalah hasil maklumat aduan yang diterima daripada orang awam.

Menurut kenyataan KPDNHEP hari ini, premis yang diserbu di Petaling Jaya merupakan sebuah premis kediaman yang disewa untuk dijadikan stor penyimpanan dan pembungkusan barang-barang runcit yang dijual secara dalam talian.

MINYAK masak botol. GAMBAR KPDNHEP

Manakala premis yang diserbu di Puchong adalah premis rumah kedai yang juga dijadikan stor penyimpanan dan pembungkusan barang-barang runcit yang dijual secara dalam talian, kata kenyataan itu.

“Hasil pemeriksaan ke atas premis di Petaling Jaya itu, pihak berkuasa telah menemukan sejumlah 255 kg minyak masak paket 1 kg bersubsidi bersama beberapa jenis barangan runcit lain yang disimpan di dalam premis terbabit sebelum dijual/diedar kepada pelanggan secara dalam talian,” katanya.

Menurut kenyataan yang sama, hasil pemeriksaan lanjut mendapati hanya barang kawalan minyak masak paket 1 kg sahaja ditemukan oleh pihak KPDNHEP.

Dan premis gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 daripada Pengawal Bekalan untuk berurusniaga dengan barang kawalan berjadual itu.

“Hasil maklumat yang diperolehi, minyak masak paket tersebut dijual pada harga RM 2.50/kg.

“Pasukan serbuan telah mengambil tindakan ke atas premis terbabit kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Iaitu menjual barang kawalan tanpa lesen dan Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu mana-mana orang tidak boleh berurusan secara borong dan runcit apa-apa barang berjadual tanpa lesen yang dikeluarkan di bawah Peraturan 4 Akta yang sama,” jelas kenyataan tersebut.

Seorang lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai pembantu/pekerja premis terbabit telah direkodkan keterangan bagi membantu siasatan.

Sejumlah 255 kg minyak masak paket 1 kg telah disita bersama beberapa dokumen perniagaan lain untuk siasatan lanjut.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM637.50.

PENGUATKUASA KPDNHEP membuat cacatan berdasarkan butiran yang diberi oleh seorang wanita dalam serbuan penjualan minyak masak dalam talian menggunakan platform e-dagang di Puchong. GAMBAR KPDNHEP

Dalam serbuan berasingan, pemeriksaan ke atas premis di Puchong pula, pasukan serbuan telah menemukan sejumlah minyak masak kemasan botol 1 kg, 2 kg dan 3 kg dalam premis terbabit.

“Hasil pemeriksaan lanjut, pihak premis telah mengemukakan lesen runcit di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang masih sah tempohnya.

“Namun alamat didaftarkan dalam lesen itu berbeza daripada alamat premis yang menyimpan barang-barang kawalan terbabit,” katanya.

Seorang wanita warga tempatan yang mengaku sebagai penyelia premis berkenaan telah direkodkan keterangan bagi membantu siasatan.

Sejumlah 27 unit minyak masak kemasan botol 1 kg, 2 kg dan 3 kg telah disita bersama beberapa dokumen perniagaan lain untuk siasatan lanjut. – SM

(Visited 239 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button